BERITA UTAMA

Israel buat ‘u-turn’ minta pertemuan dengan Amerika diatur semula

WASHINGTON – Israel membuat ‘u-turn’ dengan meminta untuk menjadualkan semula pertemuan dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan rancangan ketenteraannya di bandar Rafah di selatan Gaza, kata seorang pegawai AS pada Rabu.

Permintaan itu dibuat Israel hanya beberapa hari selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu secara tiba-tiba membatalkan rundingan yang dirancang.

Netanyahu membatalkan lawatan delegasi kanan Israel ke Washington selepas AS membenarkan kelulusan resolusi gencatan senjata Gaza di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 Mac lalu.

Keputusan AS berkecuali sekali gus membolehkan resolusi itu diluluskan dilihat sebagai petunjuk kekecewaan AS yang semakin meningkat terhadap Perdana Menteri Israel.

Pegawai AS berkata, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden bingung dengan pembatalan Israel dan menganggapnya sebagai tindak balas keterlaluan terhadap resolusi Majlis Keselamatan, sambil menegaskan tiada perubahan dalam dasar.

Pada Rabu, seorang pegawai AS pula memberitahu, pejabat Netanyahu “telah berkata mereka ingin menjadualkan semula mesyuarat yang didedikasikan untuk Rafah. Kami kini bekerjasama dengan mereka untuk menetapkan tarikh yang sesuai.”

Netanyahu sedang mempertimbangkan untuk menghantar delegasi menghadiri mesyuarat di White House seawal minggu hadapan, tetapi penjadualan masih diuruskan, seorang pegawai Israel di Washington memberitahu Reuters dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri Israel.

Pusingan U itu dibuat selepas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengadakan “perbincangan yang konstruktif ” sejak dua hari lepas dengan pegawai kanan AS di Washington, tambah pegawai itu

Rundingan yang dirancang itu dijangka memberi tumpuan kepada serangan terancam Israel di Rafah, tempat perlindungan terakhir yang agak selamat untuk orang awam Palestin di Gaza.

Pada minggu lalu, White House menyatakan hasrat untuk berkongsi dengan pegawai Israel tindakan alternatif untuk menghapuskan kumpulan militan Palestin Hamas tanpa serangan darat di Rafah yang dilihat Washington akan menjadi “bencana.” – Reuters

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *