BERITA UTAMA

Anwar akan semak dengan Perbendaharaan isu Farhash

KAJANG – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyemak dengan Perbendaharaan mengenai dakwaan terhadap ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berhubung pembelian saham sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion.

Anwar berkata beliau hanya akan mengeluarkan kenyataan, selepas mendapat maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Farhash

“Saya akan semak butiran dengan Perbendaharaan dan keluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid Ashabus Solihin, Taman Rakan di sini hari ini.

Sebelum ini bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Isham Jalil, meminta polis menyiasat Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik Anwar kerana didakwa melalui syarikat pelaburan Rosetta Partners, telah membeli saham syarikat Heitech Padu sebanyak 16.1 juta unit, dianggarkan bernilai RM40 juta.

Terdahulu Anwar meluangkan masa berbuka puasa bersama penduduk sekitar Taman Rakan dan pelajar tahfiz di Masjid Ashabus Solihin, yang turut disertai oleh anaknya Nurul Izzah Anwar.

Perdana Menteri yang tiba pada 6.50 petang dengan berbaju Melayu hijau muda, kemudiannya turut menyertai hadirin menunaikan solat fardhu Maghrib. – Bernama

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *