BERITA UTAMA

Akmal terkedu penganalisis utamakan undi dari agama

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh kesal dan kecewa dengan tingkah laku segelintir penganalisis serta pemerhati politik yang lebih menitikberatkan soal kepentingan parti daripada menghormati agama satu-satu penganut.

Kecaman terhadap dirinya yang mempertahankan kalimah Allah dari dihina dan diperkotak-katikkan masih berterusan dengan terbaharu dari beberapa individu yang mendakwa sebagai penganalisis politik.

“Saya terkedu. Ketika agama Islam dihina dan kita mempertahankannya kita dianggap bikin kecoh.

“Malah, lebih teruk apabila agama kita dihina masih ada yang memikirkan perlu menjaga undi pilihan raya.

“Saya lebih rela tidak dipilih pada pilihan raya dari tidak membuat apa-apa ketika agama Islam dihina,” tegas Akmal menjawab kecaman penganalisis berhubung tindakannya mengajak umat Islam boikot kedai serbaneka KK Mart.

Menurut Akmal, beliau menyerahkan segalanya kepada Allah dan memohon diberi kekuatan untuk mempertahankan agama Islam.

Hari ini, portal Malaysia Kini melaporkan kenyataan beberapa penganalisis yang berpendapat tindak-tanduk Akmal tidak memberi kesan ketara kepada keutuhan kerajaan perpaduan.

Hal itu kerana sikap ditunjukkan Exco Melaka berkenaan dillihat tidak mewakili keseluruhan partinya.

Menyatakan pandangan sebegitu, ahli akademik di Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa, Lau Zhe Wei berkata, ketika Akmal kelihatan agresif Majlis Kerja Tertinggi UMNO pula nampak lebih tenang menguruskan segala isu dalaman kerajaan.

Bagaimanapun, pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid menegaskan publisiti politik Akmal – sekiranya diteruskan – berpotensi merugikan kerajaan.

Katanya, ada kemungkinan besar pengundi akan berasa kecewa, khususnya dalam kalangan penyokong bukan Melayu di belakang PH.

Pada masa sama Ahmad Fauzi berkata, wajar untuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersikap lebih tegas mengawal Akmal agar perbuatannya tidak memburukkan imej kerajaan.

“Anwar tidak boleh berdiam diri, dia seharusnya mengajak wakil-wakil parti dalam kerajaan perpaduan untuk meredakan ketegangan yang dicetuskan oleh Akmal.

“Anwar juga seharusnya meminta Presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengawal tingkah laku Akmal,” kata Ahmad Fauzi.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Azmil Tayeb berpendapat, aksi ‘heroik bangsa’ daripada Akmal ini tidak akan memberi nilai tambah kepada kerajaan.

Berbanding dianggap boleh menarik undi Melayu, Azmil berkata, kelakuan Akmal bahkan berpotensi mengurangkan undi penyokong PH.

“Tindakan ini berpotensi untuk mengurangkan sokongan pengundi PH yang merasakan PH tidak perlu berkerjasama dengan Umno lagi kerana provokasi-provokasi yang dilakukan itu,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, apa yang dilakukan Akmal memang sesuai dengan sifat UMNO yang berpaksikan perjuangan bangsa Melayu.

“Secara umumnya Akmal hanya ingin menunjukkan semangat UMNO dia,” katanya.

Mohd Azmir menambah mesej Akmal juga diyakini tidak akan memberi ancaman kepada hubungan antara parti dalam kerajaan kerana ia hanyalah suara UMNO yang ingin menarik kembali sokongan orang Melayu. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *