BERITA UTAMA

Kerajaan akan terus lemah kalau tidak mahu terima idea pihak lain – Tok Him

KUALA LUMPUR – Masalah berlaku dalam sesebuah kerajaan ialah sikap retorik pemimpinnya tidak mahu menerima idea pihak lain, walaupun pandangan itu sebenarnya boleh membantu memulih dan menyelamatkan negara.

Presiden Parti Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, sebagai contoh, apabila ada di kalangan pemimpinnya mencadangkan agar kerajaan menambat ringgit sebagaimana dilakukan di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, cadangan itu tidak diendahkan.

Katanya, konon pemimpin kerajaan mempunyai idea lebih baik untuk pulihkan nilai ringgit, tetapi apa yang berlaku semakin jatuh hingga memberi kesan buruk kepada rakyat dan ekonomi negara.

“Inilah masalah menghimpit pemimpin Melayu, dari dulu hingga kini malu untuk menerima pakai apa-apa idea yang baik kalau bukan dari penyokong mereka.

“Mereka memandang remeh dan tidak mempedulikan pandangan daripada pihak lain yang bukan dari kalangan mereka.

“Sedangkan, idea mereka, lebih lagi menteri yang hebat dengan formula langsung tidak boleh diterima pakai untuk memulihkan ekonomi yang merudum ketika ini. Hanya pandai cakap, tetapi buat sama sekali tidak ada pengetahuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ibrahim memberi contoh, ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat, beliau memutuskan untuk menambat ringgit selepas melihat nilainya semakin jatuh.

Katanya, keputusan dibuatnya itu dapat menyelamatkan nilai ringgit dari terus jatuh sebagaimana sekarang.

“Apa yang kita dengar, kerajaan guna dana tertentu untuk selamatkan ringgit. Tetapi apa yang berlaku? Duit habis, nilai ringgit tetap jatuh.

“Apabila kita bagi pandangan bahawa dalam soal ekonomi, terutama nilai ringgit, faktor yakin kepada masa depan dan kepimpinan negara adalah faktor utama yang perlu diperkukuhkan.

“Sebabnya, lagi besar jurang antara persepsi dan realiti, makin kurang keyakinan pelabur dan akan semakin kurang bernilai ringgit serta ekonomi negara,” katanya.

Namun, ujar Ibrahim, begitu juga, apabila Putra mencadangkan kerajaan Madani perlu memperkenalkan semula GST kerana ia baik untuk memulihkan sistem ekonomi negara, mereka lebih senang menaikkan kadar SST.

“Inilah masalah paling besar dihadapi negara, sikap pemimpinnya yang lebih kepada beretorik, tak ada idea dan perancangan sangat lemah, tetapi dalam bab bercakap cukup hebat,” katanya. – NasionalDaily

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *