BERITA UTAMA

Hamas, pengantara teruskan rundingan tanpa kehadiran Israel

KAHERAH – Wakil Hamas dan negara pengantara, Mesir dan Qatar, meneruskan rundingan di Kaherah untuk gencatan senjata di Gaza, walaupun Israel tidak menghantar delegasi pada Isnin.

Rundingan gencatan senjata, yang bermula pada Ahad itu dianggap sebagai peluang terakhir dalam usaha untuk mengisytiharkan gencatan senjata sejak perang tercetus lebih lima bulan lalu di Gaza.

Usaha itu cuba dipercepatkan oleh negara pengantara sebelum ketibaan Ramadan yang dijangka bermula Ahad ini, apabila umat Islam memulakan ibadah puasa tetapi, Israel masih enggan mengulas secara terbuka mengenai rundingan di Kaherah.

Sumber memberitahu Reuters, Israel menjauhkan diri kerana Hamas enggan memberikan senarai tebusan diambil pada 7 Oktober lalu yang masih hidup, dengan Hamas berkata, mereka akan memberikannya hanya apabila Israel bersetuju dengan syarat ditetapkan.

“Rundingan di Kaherah diteruskan untuk hari kedua, tidak kira sama ada delegasi Israel hadir di Mesir,” kata seorang pegawai Hamas kepada Reuters.

Dua sumber keselamatan Mesir berkata, orang tengah yang berhubung dengan Israel membenarkan rundingan diteruskan walaupun mereka tidak hadir.

Sumber Palestin yang rapat dengan rundingan itu berkata, perbincangan kekal ‘gelisah’, dengan Israel berpegang pada tuntutannya untuk hanya mengadakan gencatan senjata sementara bagi membebaskan tebusan, manakala Hamas mahukan jaminan bahawa perang tidak akan bermula kembali.

Pegawai dari Hamas, Mesir dan Qatar memulakan rundingan pusingan kedua itu pada lewat Isnin, kata sumber Hamas.

Cadangan yang dibincangkan membayangkan gencatan senjata selama 40 hari, di mana pejuang Palestin akan membebaskan sekitar 40 daripada lebih 100 tebusan yang masih ditahan sebagai balasan kepada pembebasan 400 tahanan dari penjara Israel.

Israel akan berundur dari beberapa kawasan, lebih banyak bantuan kemanusiaan akan dibenarkan masuk ke Gaza, dan penduduk akan dibenarkan pulang.

Namun, perjanjian itu nampaknya tidak menangani secara langsung permintaan Hamas mengakhiri perang kerana Israel masih bertegas ia tidak akan menamatkannya sehingga Hamas dihapuskan.

Hamas pula berkata ia tidak akan membebaskan semua tebusannya tanpa perjanjian yang menamatkan perang.

Sumber keselamatan Mesir berkata pengantara cuba merapatkan jurang dengan jaminan kepada Hamas mengenai rundingan damai masa depan dan kepada Israel mengenai keselamatan tebusan.

Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan rundingan itu mempertikaikan pandangan Amerika Syarikat (AS) bahawa Israel telah bersetuju dengan perjanjian itu dan Hamas mengelaknya.

Beliau berkata pandangan itu bertujuan untuk mengalihkan kesalahan daripada Israel sekiranya rundingan itu gagal.

Sementara itu, penduduk menyifatkan pertempuran terbaharu sejak Sabtu di utara Rafah di Khan Younis adalah antara yang paling buruk, dengan tentera Israel mengeluarkan video menunjukkan bangunan dimusnahkan dalam serangan udara.

Pegawai kesihatan berkata satu lagi serangan udara Israel berhampiran hospital di Khan Younis membunuh 10 orang lewat Isnin. – REUTERS

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *