BERITA UTAMA

Kongres Ekonomi Bumiputera hambar, retorik – Putra

KUALA LUMPUR – Hari pertama Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) berlangsung memperlihatkan kehadiran 99 peratus penjawat awam.

Ini menunjukkan program itu tidak mendapat sambutan dari parti politik dan NGO Melayu.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Sara Hidup Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, ucaptama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tidak menyeluruh kepada spesifik pendapatan baharu dan hanya mengekalkan konsep pelaksanaan sedia ada yang terpakai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi Putra menyatakan, dalam ucapannya juga tidak menyebut sebarang suntikan tabung dan dana baharu, melainkan hanya menubuhkan rangkaian proksi yang selektif.

Katanya, mengindustrikan pertanian telah pun dilaksanakan sewaktu pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membawa pendekatan pertanian adalah perniagaan.

“Nampak seperti adanya kesinambungan, tetapi masih tidak berjaya dilaksanakan. Untuk apa perlu inisiatif ini diperkenalkan, sedangkan ianya tidak memperlihatkan kejayaan.

“⁠Sepatutnya perlu dicadangkan rangkaian pemborong di kalangan bumiputera perlu diperluaskan bagi mewujudkan persaingan yang mana kesannya adalah penurunan harga barang, berbanding ketika ini pemborong dan pengedar dikuasai individu tertentu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Mohamad Izwan, dalam ucaptama Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah langsung tidak menyentuh isu biasiswa khusus untuk bumiputera yang menjadi teras kepada perlembagaan Malaysia.

Ini katanya, perlu diperhalusi bagi memastikan anak-anak bumiputera yang layak memperoleh tawaran biasiswa khusus untuk B40.

“⁠Beliau juga mengusulkan mana-mana pajakan yang tamat, 20 peratus akan diambil untuk diuruskan perbadanan tanpa menjelaskan baki pajakan, di samping isu tanah rizab Melayu yang hilang tanpa ganti dan ikhtiar mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk semak dan imbang.

“Keseluruhannya Kongres Ekonomi Bumiputera ini hanya retorik dalam penglibatan UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *