BERITA UTAMA

KEB ketengah dasar baru untuk bumiputera – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) kali ketujuh hari ini, mengetengahkan perancangan kerajaan untuk melaksanakan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai satu dasar mengorak langkah ke hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, TEB adalah kesinambungan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilahirkan menerusi KEB pertama pada 5 hingga 7 Jun 1965 dan kali kedua pada 7 hingga 9 September 1968.

Menurut beliau, TEB ini mempunyai tiga matlamat utama yang perlu dicapai bersama iaitu Keadilan Sosio-Ekonomi; Kemampanan Negara Bangsa; dan Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

“Tiga matlamat utama ini bagi memastikan dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara, bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak bumiputera, tetapi pada masa sama memastikan wujudnya kesalingan atau synergy dengan bukan bumiputera.

“Mahu atau tidak, rela atau tidak, kesalingan antara kaum amat penting dalam memugar aktiviti ekonomi negara. Bertitik tolak daripada hasrat DEB yang tidak mahu lagi aktiviti ekonomi dikaitkan dengan identiti kaum, hari ini tembok itu telah pun berjaya diruntuhkan.

“Kaum bumiputera tidak lagi sinonim dengan usaha tani, Cina bukan lagi mendominasi gelaran saudagar begitu juga dengan kaum India, tidak lagi berlegar di perladangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaputama sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2-24 “Transformasi Ekonomi Bumiputera” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Menurut Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, atas semangat itu, ia menuntut semua kaum bahu membahu membangunkan negara, menghormati agihan yang adil, di samping menerima hakikat, usaha memartabatkan penyertaan bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah dalam kerangka Perlembagaan Negara.

Ia juga, katanya, bagi memadamkan penceritaan ekonomi negara dikuasai oleh kumpulan minoriti, yang tentunya mengundang resah kaum majoriti dan akhirnya mewujudkan kesenjangan sosial.

“Keadaan sebegini tentunya tidak sihat bagi sebuah negara yang telah melebihi enam dekad dibangunkan secara bersama.

“Justeru, TEB ini adalah dasar baharu yang progresif untuk merapatkan jurang sosioekonomi di kalangan rakyat Malaysia dan sudah tentu melaluinya, kita mahu memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasakan.

“Malah, ia juga bertujuan memastikan bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu, di samping turut serta membesarkan kek ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, dalam aspek pendidikan, kini masanya untuk memecahkan belenggu pemikiran kalangan bumiputera bahawa bidang kemahiran bukan pilihan kedua, sebaliknya menjadi pilihan utama industri.

Ujarnya lagi, memperkasa modal insan melalui bidang kemahiran juga penting bagi mempersiapkan generasi bumiputera sebagai tenaga kerja yang kompeten untuk bersaing di pasaran buruh yang semakin kompleks.

“Pada masa sama, usaha ini diyakini mampu meningkatkan peratusan pekerja mahir bumiputera yang kini berada pada tahap 29.1 peratus berbanding kaum lain.

“Ia sudah tentu menjamin akses terhadap pekerjaan yang memberikan pendapatan yang lebih munasabah dan stabil dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

“Dalam soal pemilikan pula, bumiputera belum mencapai tahap pemilikan yang memuaskan dalam kalangan syarikat korporat tersenarai di Bursa Malaysia. Ini mungkin berpunca daripada terbatasnya akses kepada pembiayaan dan pendanaan bagi memula atau memperluaskan perniagaan,” katanya.

Namun, Presiden UMNO itu berjarap, inisiatif melalui dasar afirmatif sedia ada diperkemaskan agar tahap penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dapat dipertingkatkan.

Beliau juga menjelaskan, pihaknya akan terus memastikan menerusi TEB peranan agensi amanah bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Tabung Haji serta lain-lain akan lebih terkehadapan dalam pengupayaan bumiputera bagi semua sektor perekonomian. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *