BERITA UTAMA

Dua cedera, 44 selamat bas ekspres, dua kereta berlanggar

KUALA KRAI – Dua cedera, manakala 44 lagi selamat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan dua kereta di Kampung Padang 9, Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat sini, malam tadi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 11.15 malam bergegas ke lokasi untuk kerja menyelamat mangsa.

Komander Operasi, PBK II Mohd Khairul Duha Abd. Halim berkata, sebanyak tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan iaitu bas ekspres Perdana, kereta Nissan Latio dan Proton Wira Aeroback.

Katanya, pemandu kereta Nissan Latio mengalami kecederaan akibat tersepit ditempat pemandu dan berjaya dikeluarkan, sebelum dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan.

“Manakala seorang lagi yang berada dalam kereta Proton Wira Aeroback turut cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba dan dihantar ke HKK.

“Semua penumpang termasuk pemandu bas ekspres selamat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu di Negeri Sembilan, BBP Gemas dan BBP Gemencheh, dekat sini, berjaya memadamkan kebakaran yang berlaku di sebuah kilang kayu.

Dalam kejadian pada jam 4.10 awal pagi ini, seramai 16 anggota dari dua BBP itu bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera FRT, LFRT dan kenderaan Unit EMRS sejurus panggilan diterima.

Menurut Pegawai Operasi, PBK II Ismail Mat Ali, kebakaran yang berlaku melibatkan sebuah mesin memproses habuk kayu dan musnah terbakar lebih kurang 70 peratus.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman sehingga selesai. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *