BERITA UTAMA

Dakwaan ditawar habuan: Tiada pegawai SPRM hubungi Wan Saiful – Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan ada pegawainya menghubungi Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan selepas pendedahan beliau di Dewan Rakyat mengenai tawaran habuan untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, semakan telah dibuat terhadap pegawai SPRM dan mendapati tiada seorang pun yang menghubungi Wan Saiful selepas dakwaan ditawarkan habuan bernilai RM1.7 juta.

Astro AWANI melaporkan Azam sebagai berkata, sesiapa sahaja boleh menghubungi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dan mendakwa sebagai anggota SPRM.

“Tidak ada pegawai saya yang menghubungi beliau, mungkin sesiapa pun boleh hubungi mengatakan daripada SPRM.

“… yang penting di sini, Wan Saiful sepatutnya ke SPRM buat laporan kerana apabila seseorang ditawarkan suapan atau rasuah perlu datang ke mana-mana balai polis terdekat atau (pejabat) SPRM untuk membuat laporan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di ibu negara, hari ini.

Semalam, Wan Saiful dalam kemas kini di laman Facebook memaklumkan telah dihubungi oleh pegawai SPRM selepas kurang sejam membuat pendedahan di Dewan Rakyat berhubung tawaran habuan untuk menyokong Perdana Menteri

Beliau berkata, pihaknya diminta menghubungi pegawai SPRM dan akan akur kepada arahan itu.

Azam menambah, menjadi tanggungjawab Wan Saiful untuk tampil sendiri ke SPRM selepas membuat kenyataan di Parlimen kerana pendedahan itu tidak boleh dianggap sebagai spekulasi.

SPRM ujarnya, memerlukan butiran lanjut bagi menjalankan siasatan yang dibuat oleh Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu.

“Kalau di bawah SPRM siasatan telus akan dijalankan terhadap sesiapa pun.

“Kita tidak memilih sesiapa pun. Sekiranya melakukan kesalahan melibatkan mana-mana anggota pentadbiran kerajaan, kita tetap siasat.

“Dalam hal ini adalah lebih molek beliau datang kerana beliau menyebutnya di Parlimen,” tambah Azam.

Semalam Astro AWANI melaporkan Wan Saiful Wan memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau dihubungi oleh beberapa individu yang menggugutnya untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Ahli Parlimen itu mendakwa, selepas berkali-kali dihubungi, beliau ‘akur’ untuk mengadakan beberapa pertemuan, bermula pada 17 Januari lalu di sebuah hotel di Bukit Bintang, ibu negara.

Dakwa beliau, dalam siri pertemuan tersebut, individu berkenaan menawarkan habuan sebagai balasan sokongan kepada Perdana Menteri, antaranya peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *