BERITA UTAMA

Akmal cadang nasi goreng Cina ganti bak kut teh jadi hidangan warisan

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mencadangkan pihak berkenaan mengiktiraf nasi goreng Cina sebagai hidangan warisan negara daripada bak kut teh.

Ketuanya, Dr. Akmal Saleh berkata, selain daripada dua menu itu, banyak lagi makanan yang boleh dimakan semua rakyat di negara ini tidak kira kaum mahupun agama.

“Jika menteri tidak boleh nak berfikir sensitiviti rakyat Malaysia dan apakah relevannya dalam membuat keputusan, sudah tiba masanya kita mohon agar Perdana Menteri pecat sahaja menteri ini.

“Kerana kalau Ketua Pengarah pelancongan diturunkan pangkat sebab prestasi merosot, maka alasan yang sama boleh digunakan kepada menteri yang bukan sahaja merosot, tetapi menteri yang paling teruk dalam sejarah.

“Menteri kong ka li kong lebih baik letak jawatan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan hidangan sup babi, bak kut teh yang berasal dari Klang, Selangor diangkat sebagai salah satu daripada makanan warisan negara.

Pemakluman mengenai bak kut teh itu tersenarai dalam Perisytiharan Objek Warisan 2024 disiarkan Jabatan Peguam Negara yang juga Warta Kerajaan Persekutuan.

Ia diisytiharkan oleh Pesuruhjaya Warisan, Muhamad Muda Bahadin bertarikh 16 Februari lalu.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645], Pesuruhjaya mengisytiharkan objek yang disenaraikan dalam jadual objek warisan,” katanya menerusi pengisytiharan tersebut.

Selain bak kut teh, makanan ruji iaitu burasak, mi kolok dan nasi ambeng turut diangkat sebagai warisan negara.

Untuk kategori kuih-muih pula ialah dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau kuih lapis, kuih karas dan uthappam.

Bagi makanan pembuka selera ialah jeruk tuhau, manakala air katira juga diangkat sebagai minuman warisan negara. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *