BERITA UTAMA

Wanita Pakistan pakai baju kaligrafi Arab cetus kekecohan, didakwa hina agama

PAKISTAN – Seorang wanita di Pakistan pada Ahad lalu (26 Februari) berdepan detik cemas apabila dikerumuni ratusan orang awam yang marah selepas dia didakwa telah menghina agama Islam dengan memakai pakaian kaligrafi Arab.

Kejadian dilaporkan berlaku di salah sebuah restoran di Lahore apabila orang ramai menyangka pakaian yang dipakai oleh wanita terbabit merupakan ayat suci Al-Quran.

Memetik laporan BBC, wanita itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pihak polis Pakistan yang berada di lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam sekitar 1.10 tengah hari berhubung insiden terbabit.

Asisten Superintendan Syeda Shehrbano berkata, dianggarkan lebih kurang 300 orang telah berkumpul di luar restoran mengerumuni wanita terbabit pada waktu itu.

Syeda dikatakan terpaksa berunding dengan ratusan orang awam untuk menenangkan kekecohan yang sedang berlaku.

“Kami memberitahu mereka bahawa kami akan membawa wanita itu bersama kami, tindakan dia akan diambil kira dan kami menuntutnya bertanggungjawab atas apa juga jenayah yang dilakukan menurut undang-undang negara,” katanya.

Dalam satu rakaman yang tular di media sosial, kelihatan Syeda terpaksa menutupi baju wanita itu dengan jubah berwarna hitam dan kepalanya dengan tudung sebelum dibantu oleh anggota polis lain yang membuka laluan agar dia dapat diiring keluar dengan selamat.

Wanita itu kemudiannya dibawa ke balai polis sebelum beberapa ilmuan agama mengesahkan bahawa teks di atas baju itu adalah kaligrafi Arab dan bukannya ayat-ayat al-Quran.

Difahamkan, kaligrafi yang tertera pada pakaian itu adalah ‘Halwa’ yang bermaksud ‘cantik’ dalam bahasa Arab.

ilmuan-ilmuan agama itu tampil dalam satu video untuk memberi penjelasan dan wanita berkenaan turut membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya tidak mempunyai niat sedemikian, ia berlaku secara tidak sengaja. Bagaimanapun, saya memohon maaf atas segala yang berlaku dan saya akan memastikan ia tidak berulang lagi,” kata wanita terbabit.

Dia pada masa sama, turut mengakui dirinya seorang Muslim yang taat dan tidak akan melakukan penghinaan terhadap agama.

Mempertahankan agama daripada dihina merupakan satu tanggungjawab yang tidak dinafikan, namun sebagai seorang Muslim seharusnya mengkaji dahulu sebelum bertindak sesuka hati mengikut perasaan.

Sekadar info, undang-undang Pakistan melarang tindakan atau kesalahan bercakap secara keji mengenai tuhan atau perkara suci dan memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. – BBC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *