BERITA UTAMA

Remaja lemas hanyut di Sungai Ketil ditemukan

KUALA KETIL – Mayat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, dekat sini, ditemukan pada jam 10.07 pagi ini.

Mangsa berusia 15 tahun itu dijumpai anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah selepas menerima panggilan ada seorang lelaki hanyut di sungai itu.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, PPgB Mohd Jamil Daud, terdahulu pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu melalui talian MERS999 pada jam 6.29 petang semalam.

Katanya, seramai 10 anggota termasuk PPDA ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit EMRS.

“Kita menjalankan operasi mencari mangsa, iaituseorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dikhuatiri lemas dan hanyut di sungai berkenaan.

“Anggota Pasukan PPDA seramai 12 orang turut digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Tindakan awal pasukan bomba adalah dengan melakukan pencarian melalui kaedah “surface searching” di sepanjang lokasi mangsa terjatuh dan di gigi air sungai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau, operasi SAR bersambung awal pagi ini bermula jam 8.42 pagi serta dibantu pasukan Unit Pengesan (K9) sebelum mangsa dijumpai tidak lama selepas itu.

Dalam operasi tersebut, agensi lain yang turut membantu adalah anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Amal.

Pengarah JBPM Kedah, PKPjB Awang Hidzel Awang Bujang turut hadir di lokasi kejadian bagi memantau operasi SAR. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *