BERITA UTAMA

Ramai anak muda bersama dalam bidang pertanian – Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Anak muda yang menunjukkan minat dalam bidang pertanian dinasihatkan untuk terus terlibat secara penuh masa dan melakukan kerjaya itu bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan hidup.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dengan penglibatan secara aktif dan berterusan mereka, dapat menjamin sumber pendapatan yang lumayan.

“Suka saya nasihatkan kepada anak muda yang terlibat dalam bidang pertanian untuk terlibat secara sepenuh masa dan lakukan dengan bersungguh-sungguh apa yang diusahakan ketika ini.

“Selain dapat menjamin sumber pendapatan yang lumayan, pertanian juga adalah aset terpenting negara yang perlu diberikan perhatian serius.

“Sekuriti makanan adalah agenda penting yang sering diperkatakan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Simposium Peladang Muda Nasional 2024 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor, malam tadi.

Menurut Mohamad, dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan, sistem pintar, data raya, Internet benda (IoT) dan pelbagai lagi teknologi dalam pertanian yang selari dengan perkembangan revolusi perindustrian (IR) 4.0 memungkinkan lebih ramai lagi anak muda akan bersama dalam bidang pertanian.

Beliau yakin, selepas ini lebih ramai peladang muda yang akan berjaya negara hasilkan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *