BERITA UTAMA

Pembangkang umpama masuk telinga kiri, keluar telinga kanan

KUALA LUMPUR – Pembangkang telah menunjukkan perangai teruk dan biadab apabila bertindak keluar Dewan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Pertama Penggal ketiga Parlimen Kelima Belas 2024, semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika membidas perbuatan itu menyifatkan pembangkang seperti tidak boleh dinasihati.

Katanya, titah perasmian Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim semalam cukup jelas dan tidak masuk akal sama sekali apabila penggubal undang undang tidak mengikut peraturan.

“(Padahal) Ucapan menjunjung kasih pun, (dah) jadi kecoh. Apakah kerajaan langgar peraturan? Kerajaan bawa usul guna peraturan 14(2). Ia diundi.

“Masalahnya pembangkang masih dengan budaya lapuk. Terjerit jerit, kata kata kesat, mencelah tidak ikut peraturan dianggap hero dan berprestasi tinggi.

“Elok Speaker semak balik peraturan mesyuarat 44(2). Apakah ahli yang digantung boleh ditarik balik segala kemudahan mereka dalam tempoh penggantungan itu,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Semalam, media melaporkan, hampir semua Ahli Parlimen blok pembangkang keluar Dewan Rakyat selepas tidak berpuas hati kerana mendakwa Perdana Menteri tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Protes tersebut dibuat susulan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun untuk menyampai Penerangan Menteri berkaitan Ucapan Tahniah dan Ikrar Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Ucapan Terima Kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tindakan Anwar memberikan penerangan tersebut di tengah-tengah sesi Perbahasan Titah Diraja adalah menyalahgunakan ‘sokongan majoriti’ yang dimiliki oleh kerajaan.

Ulas Mohd Puad lagi, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dan Fong Po Kuan (Batu Gajah) pernah digantung lama dan hilang segala kemudahan ahli parlimen mereka.

“Gobind bagaimanapun dapat semula gajinya atas perintah Mahkamah Persekutuan. Elok peraturan ini dikaji semula. Jangan bazir duit pembayar cukai. Hadir Parlimen hanya buat kecoh,” ujarnya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *