BERITA UTAMA

Operasi SAR kru kapal nelayan jatuh di perairan Kuala Tatau diteruskan

BINTULU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kru kapal nelayan yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Kuala Tatau malam Ahad lalu, diteruskan untuk hari ketiga hari ini.

Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis berkata, usaha pencarian lelaki warganegara Indonesia, 23, itu giat dijalankan sejak pada Isnin melibatkan beberapa agensi.

Selain pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau, operasi itu turut melibatkan Polis Marin Bintulu, pasukan bomba Tatau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu yang membuat pemantauan di kawasan perairan Kuala Tatau.

“Mangsa dikenali sebagai Sadar dengan pakaian terakhirnya berbaju merah coklat dilaporkan terjatuh dari kapal di perairan Kuala Tatau seperti dimaklumkan dalam aduan seorang majikan pekerja tersebut pada jam 11 pagi Isnin (26 Februari),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha pencarian diteruskan sehingga sebarang petunjuk dijumpai.

Jame menyeru orang ramai di sekitar perairan Kuala Tatau yang mempunyai maklumat dan terjumpa mangsa untuk menghubungi serta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Zaidi Selamat di talian 012-8733117. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *