BERITA UTAMA

Kongres Ekonomi Bumiputera – suatu penantian?

KUALA LUMPUR – Ramai teruja menunggu Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula esok hingga 2 Mac ini.

Bagaimanapun, tidak sedikit yang kecewa dan kesal apabila KEB itu dibuka penyertaannya kepada kaum lain seperti Cina dan India.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Asmawar Samat berkata, membuka penyertaan kepada kaum lain selain Melayu dan bumiputera menjuruskan KEB kepada konsep Malaysian Malaysia.

Katanya, ini adalah kali ketujuh penganjuran KEB, dengan yang pertama diadakan pada 1 Jun 1965 dan terkini sebelum ini 1 Oktober 2020.

“Pada 10 Disember lalu, Putra telah mengingatkan ke arah mana KEB kerana ketika ini rakyat sedang berhadapan dengan kos sara hidup semakin meningkat disebabkan situasi ekonomi dunia yang tidak berapa baik.

“Malah, simposium KEB Sabtu lalu adalah untuk membuat persiapan secukupnya, tetapi membuka penyertaan kepada kaum Cina dan India agak dikesali sesetengah pihak yang merasakan KEB kini menjurus kepada konsep Malaysian Malaysia.

“KEB ini sepatutnya dikelola oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dengan sokongan kerajaan dan Pengerusinya adalah Presiden DPMM seperti kongres sebelum ini yang akan menyaksikan semua pihak akan hadir,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini hari ini.

Bagaimanapun, dakwa beliau, kongres kali ini dikendalikan oleh UMNO yang sudah hilang kepercayaan orang Melayu dan dijemput pula kaum lain yang lebih kepada mainan politik.

Kata Asmawarm ekonomi bumiputera belum mencapai sasaran 30 peratus sepertimana ditetapkan, selain masalah kemahiran, kek ekonomi dan hak milik bumiputera telah banyak terlepas tangan hingga menjejaskan status kekuatan dan kedudukan orang Melayu dan bumiputera lainnya.

Beliau menjelaskan, antaranya ialah Tanah Rizab Melayu yang susut kepada 12 peratus sudah wajar diwartakan dan mendapat ganti kawasan yang telah diambil atau bertukar tangan.

Begitu juga, katanya, permasalahan ketelusan dan integriti di UiTM baru-baru ini adalah wajar dibawa keperhatian Ombudsman sebagaimana dilakukan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Isu pilih kasih dan peluang kenaikan pangkat anak Melayu di syarikat bukan bumiputera juga sering kedengaran. Perkara ini juga boleh menjejaskan keharmonian dan sasaran penyertaan bumiputera di sektor swasta.

“Begitu juga isu kemahiran, ketirisan, ketelusan, integriti, status, martabat dan kemantapan adalah cabaran yang menanti dalam usaha meningkatkan pencapaian ekonomi bumiputera.

“Sedangkan, pencapaian yang baik akan menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan negara, namun usaha untuk mencapainya masih jauh umpama suatu penantian,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *