BERITA UTAMA

EPISOD 8:  Budaya Mencakupi Persoalan Nilai dan Hubungan Sesama Manusia  

“LAIN padang lain belalang” atau “lain lubuk lain ikan”, demikian bunyi dua buah peribahasa yang membawa maksud yang sama iaitu setiap tempat atau negeri ada adat resamnya sendiri.  

Sehari dua ini Pak Long dan keluarga mendapat tetamu istimewa, tiga beradik Hena Tariq (15), Danya Ahmad (14) dan Hifza Tariq (12) dari ElShaddai Refugee Learning Centre, (ERLC), Klang, Selangor. Mereka berasal dari Pakistan.

Di mana saja di dunia ini pelajaran sangat penting. Pak Long ingin tahu juga jenis pendidikan yang mereka perolehi sebagai pelarian. Semasa ditanya, apakah peperiksaan awam yang mereka akan hadapi, Danial menjawab dengan teruja, “IGCSE”, International General Certificate of Secondary Education”, Cambridge. Ini seperti Sijil Pelajaran Malaysia untuk kita di Malaysia.   Pak Long menanya mereka sama ada bahasa Melayu di ajar di sekolah. Pak Long tidak terkejut bila Danial menjawab dalam Bahasa Inggeris, “No, Dadaji.”

Ada suatu peristiwa menarik yang Pak Long nampak hari ini bila anak-anak ini seronok bermain di kebun Pak Long di Cita Jaya, Tanah Merah, Kelantan. Di hujung kebun masih ada sisa tebu yang belum Pak Long tebang. Melihat anak-anak ini mengepah sambil menikmati kemanisan tebu yang agak tua itu, Pak Long menyakat sambil bertanya,” Anak-anak makan buluh? Sambil tertawa sang kakak Hena menjawab, “Dadaji, this is not bamboo, it’s sugar cane.”

Sepanjang kehadiran anak-anak pelarian Pakistan ini, Pak Long tidak biarkan peluang menikmati nasi beriani pelo atau nasi ayam yang ditanak Hena, berlalu begitu saja. Ia mesti dijamah. Dalam perbualan santai kami sebelum mereka balik ke ibu kota, Pak Long selamba menanya mereka, “How do you like a remote kampung like Cita Jaya?”  Pak Long tersenyum gembira bila mereka menjawab dengan jujur, We all love it.” Dan tambah Danial dengan wajah ceria, “I like Malaysian culture – Malaysians are polite and kind.”  

Untuk pengetahuan pembaca, sebagai pelarian United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), anak-anak ini sedang menanti masa untuk ke Amerika. Entah bila kami akan berjumpa semula.  Sebelum berangkat, Pak Long sempat menanya Danial, “ Would you like to visit this village again?” Pak Long sedikit sebak dan terharu mendengar jawapannya, Yes, Dadaji. We will cherish this experience and would like to come here again one day.” 

Peristiwa kecil seperti ini membuat Pak Long teringat pesanan kita boleh saja berbeza dari segi adat resam dan budaya namun begitu aspek asas yang menyentuh nilai-nilai mulia kehidupan manusia seperti menghormati ibu bapa, kasih sayang sesama manusia, sikap saling hormat menghormati,  toleran adalah di antara sifat terpuji manusia sejagat yang mesti kita tanam dan semai dalam kalangan anak-anak.  Pak Long mendoakan mereka berjaya di mana sahaja mereka berada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *