BERITA UTAMA

Tiga, termasuk dua warga emas cedera kediaman terbakar

ALOR SETAR – Tiga penghuni, dua daripadanya warga emas mengalami kecederaan dalam kejadian kebakaran melibatkan empat rumah di Tanjung Bendahara, dekat sini, tengah hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12:01 tengah hari ini, menggerakkan anggota dan jentera dari BBP Jalan Raja, BBP Alor Setar dan BBP Pendang ke lokasi.

Menurut Komander Operasi Kanan, PPgB Wan Azizul Hakim Wan Jaafar, seramai 24 anggota telah bertugas dalam operasi tersebut bersama enam jentera termasuk kenderaan Unit EMRS.

Katanya, kebakaran melibatkan empat rumah berkeluasan 20×40 setiap satu telah ranap terbakar sehingga 80 dan 95 peratus.

“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dan kebakaran berjaya dibendung pada jam 12.28 tengah hari.

“Dalam kejadian ini, terdapat tiga mangsa iaitu lelaki warga emas berusia 77 tahun, wanita warga emas berusia 75 tahun dan seorang wanita dewasa iaitu pembantu rumah berusia 44 tahun telah mengalami kecederaan.

“Semua mangsa telah diberikan perawatan awal oleh anggota Unit EMRS,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya, PBS Jalan Kundur dan PBS Seberang Nyonya turut membantu dalam operasi itu. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *