BERITA UTAMA

Pusat Jantung KKM diurus Pakar Kardiologi, Pakar Bedah Kardiotorasik bertauliah – Dr. Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai hubungan kerja yang baik, walaupun selepas pengkorporatan IJN, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, sejak sekian lama, KKM telah merujuk kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN untuk mengurangkan ‘kesesakan dan masa menunggu yang lama di Pusat Jantung KKM seperti Pusat Jantung Serdang.

“Kami ada 10 hospital yang mempunyai Perkhidmatan Kardiologi dan tujuh yang mempunyai Perkhidmatan Surgeri Kardiotorasik.

“KKM membayar kepada IJN untuk setiap pesakit yang dirujuk ke lJN menggunakan pembiayaan tahunan persekutuan yang diterima daripada MOF.

“Oleh itu, untuk memastikan lebih ramai pesakit boleh dirujuk ke lJN, pesakit dibenarkan discaj apabila keadaan mereka stabil ke Pusat-Pusat Jantung KKM yang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan yang memetik sebuah portal, Code Blue, berkongsi tulisan seorang pesara penjawat awam yang diberhentikan rawatan selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN.

Pesara itu, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, alasan yang diberi ialah arahan kementerian supaya semua penjawat awam dan pesara perlu discaj ke pusat jantung KKM berhampiran rumah mereka.

“Saya membantah kerana masalah saya sangat rumit; pakar kardiologi kanan IJN bersetuju dengan saya. Tetapi saya diberitahu bahawa tangan mereka terikat kerana kerajaan sedang mengurangkan kos,” kata pesara itu.

Menurut Dzulkefly, Pusat Jantung KKM juga diuruskan oleh Pakar Kardiologi dan Pakar Bedah Kardiotorasik yang bereputasi serta bertauliah.

Paling penting, katanya, KKM akan terus memastikan penjagaan dan keselamatan pesakit tidak terjejas termasuk pesara kerajaan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *