BERITA UTAMA

Pas, PN dakwa pimpinan kerajaan perpaduan bermain politik

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar Ahli Parlimen berhenti ‘bermain politik’ ditujukan kepada pimpinan kerajaan Persekutuan.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, semua pihak dalam kerajaan perpaduan perlu mengambil serius teguran Sultan Ibrahim dengan menghentikan permainan politik dalam pentadbiran.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menjelaskan, beberapa keputusan yang diambil kerajaan pusat mengenai kewangan negara baru-baru ini sebenarnya bermotifkan politik semata-mata.

“Perkara ini, termasuk keperluan Ahli Parlimen dari pembangkang untuk membuat rundingan dengan kerajaan terlebih dahulu bagi mendapatkan jumlah peruntukan yang mereka mahukan.

“Memang sepatutnya semua pihak tidak ‘bermain politik’ dalam pentadbiran kerajaan persekutuan seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Parlimen semalam.

“Hentikan ‘bermain politik’ dengan Ahli Parlimen pembangkang dan menyekat peruntukan. Kalau nak dapat peruntukan, kena sokong PMX terlebih dahulu seperti yang dilakukan oleh beberapa orang sebelum ini,” dakwanya menerusi hantaran Facebooknya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam Titah Dirajanya mengingatkan semua Ahli Parlimen bahawa baginda tidak akan melayan sebarang permintaan yang bertujuan untuk menggugat kestabilan politik negara.

Baginda turut menasihati semua Ahli Parlimen supaya menerima kenyataan dan berhenti bermain politik selain menunggu hingga pilihan raya yang akan datang untuk meneruskan agenda mereka.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sedemikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, semalam.

Sementara itu, Afnan dalam hantaran yang sama turut mendakwa terdapat arahan ‘tidak bertulis’ menghalang kakitangan agensi persekutuan di negeri pembangkang untuk menghadiri majlis rasmi atau mesyuarat dengan kerajaan negeri.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu turut melontarkan tuduhan bahawa Ahli Parlimen pembangkang disekat memasuki sekolah dan pusat pengajian sedangkan wakil rakyat kerajaan ‘bebas keluar masuk’ di institusi pendidikan tersebut.

Menurut Afnan lagi, Kerajaan Madani pimpinan Anwar tidak akan menghadapi masalah untuk kekal memerintah sekiranya isu-isu utama dan kritikal dapat segera diatasi. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *