BERITA UTAMA

Lima tertuduh kes pukul pemandu dihadap ke mahkamah

BANGI – Lima lelaki yang didakwa terbabit dalam kejadian maut seorang pemandu di Taman Pelangi Semenyih 2, minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Semua tertuduh yang berusia 22 hingga 43 tahun itu mengangguk faham sebaik sahaja kertas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka dituduh membunuh Shahril Samad, 42, di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang pada jam 9.54 malam 20 Februari lalu.

Pendakwaan ke atas mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibacakan bersama Seksyen 34 KK yang membawa kepada hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hafiz.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, yang semuanya bekerja penghantar makanan dan menetapkan 25 April ini untuk status dokumen forensik, kimia serta bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang pemandu lelaki maut dalam kejadian tular di media sosial yang menunjukkan mangsa diikat tangannya sebelum ditarik keluar dari kereta dan dipukul. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *