BERITA UTAMA

Empat kematian akibat denggi direkodkan ME 7

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat kematian dilaporkan akibat komplikasi demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-7 (ME 7) tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Menurut beliau, jumlah kematian itu daripada 3,483 kes demam denggi yang dilaporkan pada ME 7, yang dilihat sedikit menurun berbanding 3,631 kes pada minggu sebelumnya.

Berikutan itu, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 7 adalah 25,541 kes berbanding 15,243 kes bagi tempoh sama tahun 2023, manakala 14 kematian akibat komplikasi itu dilaporkan berbanding 13 kematian bagi tempoh sama tahun 2023.

Bagi bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME 7 adalah 185 berbanding 199 pada minggu sebelumnya.

“Dari 185 lokaliti itu, Selangor melaporkan 144 lokaliti, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 17), Perak (sembilan), Negeri Sembilan (enam), Pulau Pinang (empat), masing-masing dua lokaliti di Kedah dan Sabah serta satu di Pahang.

Bagi survelan Chikungunya pula terdapat satu kes direkodkan pada ME 7, dengan jumlah kumulatif sehingga kini adalah empat kes.

“Bagi survelan Zika, sebanyak 307 sampel darah telah dijalankan saringan dan hasil semuanya adalah negatif.

“Masyarakat perlu bertanggungjawab dan bertindak proaktif serta memainkan peranan masing-masing dalam usaha membantu mengurangkan kejadian kes demam denggi yang sedang meningkat.

“Pastikan persekitaran premis sentiasa bebas dari pembiakan nyamuk Aedes dengan melakukan aktiviti cari dan musnah tempat berpotensi pembiakannya,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *