BERITA UTAMA

Askar AS bakar diri protes genosid Israel di Gaza kejutan pada dunia

KUALA LUMPUR – Dunia terutama Amerika Syarikat (AS) dikejutkan dengan tindakan seorang askarnya, Aaron Bushnell membakar diri kerana memprotes jenayah genosid di Gaza.

Askar itu maut akibat tindakannya menyala api pada dirinya serta ditembak oleh seorang pegawai keselamatan di depan pagar kedutaan Israel di Washington atas perlakuan yang di luar jangka rakyat negara itu.

Lebih mengejutkan, Aaron adalah anggota tentera udara AS yang aktif bertugas.

Bermakna, seorang anggota yang sudah diindoktrinasi dengan kukuh dari segi kesetiaan dan kepatuhan yang jitu untuk tidak mempersoal dasar kerajaan menyokong genosid Israel ke atas Gaza.

Aaron ternyata bertindak dengan sanubari dan pemikiran yang penuh kesedaran bahawa beliau dan seluruh tentera dan kerajaan AS tidak boleh mendukung jenayah Israel.

Aaron faham AS bersekongkol dengan genosid, sebab itu beliau melaungkan kata-kata berulang kali ketika badannya terbakar “Free Palestin” dan “I will no longer be complicit in genocide (in Gaza).

Justeru, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid menyatakan rasa simpati dengan pemberontakan dalam jiwa Aaron kerana AS telah turut menjadi penjenayah dan telah mengguna seluruh dana rakyat untuk membenarkan Israel membunuh dengan kejam puluhan ribu warga Palestin di Gaza.

Mohd Azmi

Katanya, kekecewaan anggota tentera yang maut itu menandakan suatu protes dari rakyat AS sendiri tidak akan terkawal.

“Peristiwa membunuh diri mengingatkan dunia kepada tragedi seorang aktivis AS, Rachel Corrie yang sanggup dilenyek hingga mati di Gaza pada 2003 oleh jentolak Israel kerana mempertahankan rumah seorang Palestin.

“Dunia Barat terutama AS harus ingat tindakan Aaron Brushnell adalah gambaran tindakan barbarik Israel yang disokong AS mesti ditentang sehingga bersedia mengorbankan nyawa kerana membela mereka yang ditindas. 

“Kami menyeru rakyat antarabangsa dan Malaysia bangkit dengan tegas dan berani. Kezaliman zionis Israel tidak boleh dibiarkan dan perlawanan dengan bersungguh mesti diserlahkan sehingga hak dan keadilan Palestin ditegakkan,” katanya dalam kenyataan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *