BERITA UTAMA

Abdul Hadi uzur tidak hadir sesi pembukaan Parlimen – Syahir

KUALA LUMPUR – Tanda tanya ketidakhadiran Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke sidang pembukaan Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam, terjawab.

Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman menjelaskan, Presiden Pas itu tidak hadir kerana kesihatannya masih tidak mengizinkan dan dalam tempoh pemulihan.

Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok memaklumkan, Abdul Hadi masih perlu melakukan rawatan susulan di sebuah hospital di Terengganu.

“Surat dan sijil cuti sakit sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Kesihatan Tuan Guru tidak mengizinkan, masih dalam tempoh pemulihan. Ada beberapa rawatan susulan di Terengganu.

“Surat dan sijil cuti sakit (MC) hospital sudah dihantar kepada Tan Sri Speaker semalam, 25 Februari,” katanya petik Harian Metro.

Ketidakhadiran Abdul Hadi ketika pembukaan sidang Parlimen semalam, menjadi buah mulut ramai.

Ketika Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah untuk pertama kalinya, hanya kerusi Presiden Pas sahaja yang dilihat kosong.

Disebabkan Abdul Hadi mempunyai rekod tidak cantik sepanjang persidangan sebelum ini, ramai mempersoal mengapa beliau ponteng pada hari pertama pembukaan Parlimen.

Ada juga yang melabelnya sebagai derhaka kerana tidak hadir ketika Yang di-Pertuan Agong baharu menyampaikan titah pertama baginda.

Untuk rekod, Abdul Hadi hanya hadir 33 daripada 103 sesi Parlimen sejak 26 Julai 2021, menurut data Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) melalui inisiatif MyMP. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *