BERITA UTAMA

100% graduan Diploma KKTM PJ dapat kerja gaji RM3,000-RM3,500

KUALA LUMPUR – Ramai tidak sedar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di Petaling Jaya adalah institusi pengajian tinggi pertama dan satu-satunya yang diiktiraf MQA menawarkan program pengkhususan dalam bidang Internet-Of-Thing (IOT).

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bidang IOT ialah salah satu cabang teknologi tinggi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang menggunakan pendekatan Artificial Intelligence.

“Saya kagum lihat pelajar di sini menunjukkan demonstrasi kemahiran mereka dalam AI dan IOT menginovasikan serta mengaplikasikan ilmu coding, robotik dan elektronik yang dipelajari dalam pelbagai bidang agro-pertanian, keselamatan, kawalan jarak jauh mesin dan pelbagai lagi.

“Pendekatan 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori benar-benar menjadikan pelajar ini cepat menguasai bidang ilmu dan kemahiran yang amat tinggi permintaannya.

“Sebab itulah graduan KKTM ini bagaikan ‘pisang goreng’ dipancing industri dengan tawaran gaji permulaan yang lumayan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Dalam lawatannya ke KKTM PJ itu, Asyraf menawarkan kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sama ada dalam mahupun luar negara dengan tajaan penuh MARA.

Malah, katanya, MARA akan utamakan mereka untuk ke China, Jepun dan Jerman bagi mengkhususkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang AI dan IOT ini.

“Insya-Allah melalui Agenda 3P (Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan) yang saya perkenalkan di MARA, bidang IOT dan AI akan dijadikan antara sektor utama untuk MARA melahirkan lebih ramai pakar bumiputera-Melayu dalam teknologi terkini dan berimpak tinggi,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *