BERITA UTAMA

Stok bekalan beras Selangor cukup untuk tiga bulan

TANJONG KARANG – Stok bekalan makanan di Selangor dijangka mencukupi sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan sekiranya berlaku sebarang bencana termasuk kemarau, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, stor bekalan makanan yang ketika ini sedang dibina di utara negeri itu dijangka menjadi tempat simpanan makanan berunsurkan karbohidrat iaitu beras dan protein sama ada ikan, daging atau ayam.

Katanya, jika projek itu lengkap, Selangor akan mempunyai keterjaminan makanan sehingga tiga bulan.

“Maknanya, kalau adanya peperangan sekitar (antarabangsa) dan beras tidak dapat diimport dan sebagainya, kita masih ada bekalan makanan.

“Jadi, Selangor akan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang akan mempunyai daya tahan keterjaminan makanan selama tiga bulan tanpa ganggu-gugat daripada mana-mana pihak,” katanya dipetik BERNAMA selepas merasmikan Ekspo Jualan Termurah MADANI semalam.

Amirudin berkata, kadar keterjaminan bekalan bagi tempoh tiga bulan itu sangat relevan memandangkan Selangor mempunyai kira-kira tujuh juta rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat menggabungkan Jualan Ehsan Rakyat (JER) iaitu inisiatif meringankan beban dilaksanakan kerajaan negeri dengan Jualan Termurah MADANI.

Ini katanya, bagi membolehkan rakyat berbelanja dengan lebih murah seperti dilakukan menerusi Jualan Ehsan Rahmah hasil kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kita sasar paling tidak, satu (kawasan) Parlimen satu kali dapat dibuat dalam tahun ini dengan melihat kepada kekuatan dan kemampuan kita.

“Saya akan mempertemukan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam mencari pendekatan lebih baik dan tidak menelan subsidi besar dalam masa sama memastikan barangan sampai kepada rakyat dengan harga murah,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *