BERITA UTAMA

Nilai ringgit: Fokus pada pelaburan dari luar

Oleh: Datuk Dr. Ramalan Yunus

PENYUSUTAN nilai ringgit, di samping menjadi kebimbangan rakyat, ia juga sudah menjadi bahan jenaka dan momokan rakyat Malaysia terutama di media sosial.

Rakyat bimbang kerana apabila nilai ringgit semakin menurun, maka kos sara hidup akan semakin meningkat. Ini secara langsung akan memberikan tekanan kepada psaikologi dan kesejahteraan hidup rakyat.

Ia menjadi momokan rakyat kerana mereka menganggap Kerajaan Perpaduan hari ini telah gagal menguruskan ekonomi negara.

Apa pun pada pandangan saya, penyusutan nilai ringgit bukan hanya bergantung kepada prestasi kerajaan dalam menguruskan ekonomi dan kewangan negara sahaja.

Semua pihak turut terlibat dalam menyumbang kepada turun naiknya nilai ringgit.

Mungkin ramai yang tidak sedar kita sebenarnya tidak pernah pulih dari krisis mata wang pada tahun 1998. Buktinya, ringgit tidak pernah kembali ke nilai sebelum krisis iaitu RM2.50 per USD1.

Jadi tidak wajar untuk kita mengatakan kemerosotan nilai ringgit adalah salah dan kelemahan PMX dan Kerajaan Perpaduan sahaja.

Pada pandangan saya, kita akan berdepan dengan keadaan seperti hari ini untuk jangka masa yang panjang.

Ini kerana kita tidak ada keberanian dan kemahiran untuk melakukan sesuatu yang radikal dan drastik untuk merubah keadaan.

Kita belum menemukan lagi seorang tokoh ekonomi dan kewangan baru yang hebat seperti YBM Tengku Razaleigh Hamzah.

Dan yang paling menggerunkan adalah kita sebenarnya sedang berada diambang kemelesetan ekonomi sebagaimana puluhan lagi negara-negara lain.

Isunya sekarang adalah bagaimana kita mahu pulih dari kemelesetan ekonomi dan nilai ringgit kembali kukuh seperti sedia kala?

Untuk tujuan itu, kita perlukan pelaburan dari luar negara yang cukup besar.

Namun, pelabur mana yang mahu melabur dalam sesebuah negara yang terus diselubungi dengan konflik politik?

Tanpa pelaburan yang besar dari luar negara, ekonomi kita tidak akan pulih dan berkembang.

Dan tanpa pelaburan luar yang besar, tidak akan ada permintaan yang tinggi terhadap ringgit. Bila tidak ada permintaan yang tinggi terhadap ringgit, nilai ringgit tidak akan meningkat.

Kesimpulannya, kita perlukan pelaburan luar negara yang besar bagi memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan kembali nilai ringgit.

Dan bagi meyakinkan para pelabur luar untuk melabur di negara ini, kita semua bertanggungjawab untuk menyediakan iklim dan persekitaran pelaburan baik dan nyaman.

Atas dasar itu, kestabilan politik dan sokongan sepenuhnya dari rakyat kepada kerajaan adalah sesuatu yang sangat diperlukan pada waktu ini bagi meningkatkan minat dan keyakinan para pelabur luar untuk melabur di negara kita.

Ini adalah perkara asas yang perlu difahami oleh semua pihak jika benar mahu melihat ekonomi negara pulih dan nilai ringgit kembali meningkat naik.

Hanya dengan menyalahkan pihak kerajaan sahaja tidak mengubah realiti kehidupan kita pada hari ini.

Ia perlukan komitmen dari semua pihak. Semua pihak dituntut untuk bersatu dan bekerjasama ke arah mewujudkan kestabilan politik demi kemakmuran kita bersama.

Hanya rahmat dari Allah SWT sahaja yang akan dapat memunculkan seorang tokoh baru bagi menyelamatkan keadaan ekonomi dan kewangan negara yang sudah begitu tenat sekali.

Penulis, Datuk Dr. Ramalan Yunus adalah penganalisis politik dan ekonomi bebas

One thought on “Nilai ringgit: Fokus pada pelaburan dari luar

  1. Analisis Dato selalu tepat dan mengena. Dengan Rahmat Allah SWT semua hal akan terselamatkan. Amin. In Sya Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *