BERITA UTAMA

Himpunan Bersih depan bangunan Parlimen Selasa ini bukan demonstrasi besar-besaran – Muhammad Faisal

KUALA LUMPUR – Acara berarak ke bangunan Parlimen pada 27 Februari ini oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) bukan demonstrasi besar-besaran, kata Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Sebaliknya, kata beliau, perarakan yang dinamakan perhimpunan #Reformasi100peratus itu tidak lebih sekadar untuk menyegarkan Kembali momentum kesedaran rakyat agar pelaksanaan agenda reformasi terus hidup.

Beliau menolak dakwaan mengatakan, perhimpunan itu adalah Bersih 6.0 atau demonstrasi besar-besaran.

“Perhimpunan ini bukan Bersih keenam atau demonstrasi besar-besaran. Ia adalah permulaan kepada tuntutan kita kepada Ahli Parlimen dan pemerintah agar melaksanakan agenda reformasi 100 peratus.

“Ia lebih kepada aksi tunjuk rasa untuk bina momentum kesedaran rakyat dan desakan kepada kerajaan bersama Ahli Parlimen agar tidak lupa agenda reformasi. Ini bukan suatu pengakhiran,” katanya menerusi temubual dengan Buletin Awani hari ini.

Sidang Dewan Rakyat di Parlimen bermula esok hingga 27 Mac ini.

Menurut Muhammad Faisal, kelelahan politik dalam kalangan orang awam ini adalah lanjutan daripada pengkhianatan mandat rakyat yang berlaku pada tahun 2020.

Kata beliau, akibat Langkah Sheraton dan pengkhianatan mandat rakyat, berlakunya perubahan dalam momentum rakyat menuntut reformasi dan ia diterjemahkan dalam bentuk kelelahan politik rakyat untuk mengharapkan reformasi.

“Oleh itu, sebaik sahaja saya dilantik Pengerusi, perkara pertama saya lihat ialah kepentingan untuk membina momentum dan mengembalikan kepercayaan rakyat bahawa harapan untuk kita melihat reformasi itu boleh terlaksana.

“Perdana Menteri tidak pernah menolak untuk melaksanakan agenda reformasi. Harapan masih ada,” katanya.

Jelas Faisal lagi, perhimpunan Selasa ini, Bersih menuntut dua perkara utama iaitu reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dalam pemilihan pengerusi badan tersebut.

Selain itu, Bersih mendesak agar pemberian penghakiman lepas tanpa bebas (DNAA) kepada kes berkepentingan awam dihentikan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *