BERITA UTAMA

Pemuda UMNO sambut baik keputusan kerajaan tangguh beras Madani

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menyambut baik keputusan kerajaan menangguhkan cadangan yang dikemukakan Pengerusi NACCOL, Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal berkenaan beras Malaysia Madani.

Ketuanya, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar menjiwai perasaan rakyat yang ketika ini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Terima kasih PMX Anwar kerana menangguhkan cadangan yang telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang itu pasal beras Madani

“Seharusnya isu padi dan beras ini perlu diketuai dan diuruskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan libat urus mesti melibatkan pesawah, pengilang dan juga pakar dalam bidang ini, bukan diuruskan oleh katak politik,” katanya dalam hantaran Facebooknya semalam.

Menurut Dr. Akmal, isu beras perlu diberi penekanan bagaimana pesawah perlu diperkasakan untuk mengolah hasil padi dan menjamin pendapatan mereka, yang akan membawa kepada keterjaminan bekalan beras di negara ini.

Beliau berharap, libat urus yang diketuai kementerian itu akan memberikan cadangan yang jauh lebih baik untuk kebaikan rakyat. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *