BERITA UTAMA

Pemecatan Dr. Ammar KP Tourism Malaysia tidak adil – MITDA

KUALA LUMPUR – Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) menyifatkan pemecatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar sebagai tidak adil.

Presidennya, Kapt. Mahadzir Mansor berkata, ini memandangkan Dr. Ammar telah berkhidmat dengan dedikasi dalam industri itu selama 36 tahun.

“Agak menyedihkan, beliau dipecat dari jawatannya tanpa sebab dan hanya diberi satu hari notis penamatan pelantikan sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

“Kami seluruh keluarga pelancongan di Malaysia terkejut, berasa sedih dan kecewa dengan pemecatan ini ketika Dr. Ammar sedang giat membuat persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dr. Ammar memberitahu media, beliau kecewa dengan apa yang berlaku kepada dirinya menerima notis penamatan perkhidmatan berkuatkuasa hari ini, 24 Februari 2024.

“Saya kecewa dan apa salah saya?” kata Dr. Ammar.

Manakala Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataan balas menafikan memecat Dr. Ammar, sebaliknya menyatakan, pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Kata beliau, tindakan itu dibuat kerana kemerosotan prestasi Dr. Ammar, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan dan tidak mencapai standard ditetapkan.

“Saya sudah bagi peluang dan nasihat buat terbaik kepada negara, tetapi beliau tidak memberikan perkhidmatan yang sepatutnya.

“Malah, dalam satu mesyuarat yang terbaharu, saya bagi arahan jangan lakukan sesuatu, tetapi beliau buat juga sebab itu saya arahkan pertukaran dibuat serta-merta,” kata King Sing.

Mengulas lanjut Kapt. Mahadzir berkata, pemecatan itu telah mengugat perancangan teliti menyambut kedatangan 35 juta pelancong dengan memberi pulangan dari reşit pelancong/perbelanjaan sebanyak RM140 billion.

“Kami memohon Perdana Menteri sekurang kurangnya menangguh dahulu penamatan Dr. Ammar sehingga berakhirnya Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *