BERITA UTAMA

Nasib tuan lah dapat majikan macam tu

PAK DEE bukanlah nak sokong sangat Menteri Pelancongan dalam bab dia gunakan kuasa menterinya untuk turunkan pangkat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dr. Ammar kepada pangkat Timbalan Ketua Pengarah.

Tetapi, Pak Dee lebih suka tengok dalam konteks ‘lama bekerja tidak semestinya cemerlang sampai ke pencen’.

Memanglah bagi seseorang yang berada di kerusi nombor satu dalam jabatan atau agensi akan berasa canggung, ralat atau kecewa kalau tiba-tiba diturunkan ke kerusi nombor dua. 

Selain di mana nak letak rasa malu, terasa juga maruah diri telah diperkotak-katikkan sedemikian rupa oleh majikan, yang kebetulan pula majikan jenis angin tohor.

Pak Dee kata begini kerana Pak Dee pun ada pengalaman serupa juga dengan KP Tourism tu. Cuma, lapangan kerja Pak Dee berbeza dengan KP Tourism. Pak Dee dalam dunia dan kerjaya kewartawanan.

Sebagai pengamal media yang bekerja selama hampir 40 tahun, Pak Dee dah pegang semua jawatan yang ada. Dari pemberita sambilan, pemberita, wartawan, wartawan kanan, ketua wartawan, penyunting kanan, pengarang sampailah ke jawatan paling tinggi dan besar, ketua pengarang. Tapi setakat akhbar nyamuk saja lah.

Ketika Pak Dee berasa syok pegang jawatan pengarang, tiba-tiba majikan bagi notis tukar jawatan dan pangkat Pak Dee kepada penyunting kanan. Tukar tu kononnya khidmat Pak Dee diperlukan di biro (tak kira diperlukan di mana-mana pun, tapi kenapa sampai perlu turun pangkat?)

Memang blur lah bila mula-mula berdepan dengan tindakan majikan ni. Seminggu hilang selera makan, fikirkan nasib. Nampaknya, tak ada peluang cerah bekerja dengan majikan macam ni. Apapun, Pak Dee akur dan muhasabah dengan apa yang berlaku.

Ada yang tanya kenapa jawatan sentiasa bertukar, tidak kekal selama-lamanya atau makin lama bekerja makin tinggi jawatan, pangkat dan gaji? Jawapannya mudah saja. naik turun pangkat seseorang terletak pada majikan.  

Tapi, kalau kita tanya kepada majikan kenapa dipecat, dibuang atau diturunkan pangkat? Alasannya mudah saja, kamu sudah tidak diperlukan di jabatan ini lagi. Atau, prestasi kerja kamu makin merosot, tempat kamu akan digantikan dengan orang baharu’.

Jadi, pada Pak Dee, lama atau baharu seseorang bekerja tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk orang di luar sana melihat kepada kesenioritian kita. Memang, dari segi tempoh kerja kita sudah dianggap senior, atau lebih kanan, tetapi majikan pula melihat sejauhmana idea kita berkembang untuk syarikat.

Demikianlah yang berlaku antara seorang menteri dengan KPnya. Menteri kata, KPnya tidak lagi tunjuk prestasi kerja yang bagus, selalu ingkar arahan. Jadi, jalan terbaik ialah turunkan pangkat. Itu cara betul untuk KP berkenaan balik rumah, tulis notis nak bersara awal.

Dan, memang betul apa yang dikatakan bekas Pengerusi Kada, Tan Sri Hussein Ahmad sekitar awal 90-an, mengenai kesan bila seseorang sudah terlalu lama memegang jawatan.

Ayah Sin kata, “bila seseorang itu terlalu lama sangat dengan jawatannya, akan tiba masanya fikirannya akan blur, habis idea dan akhir sekali dia akan ulang perkara sama dengan nama lain untuk kononnya nampak macam baharu.

Kalau sekali imbas, memang baharu, tetapi baharu pada nama, bukan pada kontennya. Kepada mantan KP Tourism, Pak Dee hanya mampu minta tuan bersabar dengan ujian yang menimpa tuan.

Nasib tuan lah dapat majikan macam tu. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *