BERITA UTAMA

CUEPACS tuntut menteri beri penjelasan relevan penamatan Ketua Pengarah LPPM

PUTRAJAYA – Berikutan tidakan tidak adil Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menurunkan pangkat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar, mengundang reaksi daripada CUEPACS.

Kesatuan pekerja itu menuntut Tiong memberi penjelasan lebih relevan dengan penamatan jawatan Dr. Ammar sebagai Ketua Pengarah LPPM.

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, notis penamatan yang dikeluarkan pada Khamis lalu dan berkuat kuasa hari ini dilihat amat singkat serta mengejutkan.

Menurut beliau, tindakan itu boleh menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pihak berkepentingan terutama penggiat industri tempatan.

“Walaupun kuasa melantik Ketua Pengarah LPPM itu bawah bidang kuasa menteri, tetapi tindakan seperti itu dilihat boleh menimbulkan suasana tidak harmoni antara anggota pentadbiran dan penjawat awam.

“Suasana keharmonian dan kebersamaan ini perlu dijaga, apatah lagi dengan usaha untuk mencapai sasaran ketibaan 27.3 juta pelancong luar pada tahun ini memerlukan kerja berpasukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, Dr. Ammar melahirkan rasa kecewa apabila perkhidmatannya ditamatkan berkuat kuasa Isnin (hari ini) dan menyatakan penamatan tersebut begitu mengejutkan kerana sudah berkhidmat selama 36 tahun dalam industri berkenaan.

Difahamkan, ia berikutan beliau didakwa ‘tidak sehaluan’ dengan menteri berkenaan dan penamatan itu berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh Khamis lalu.

Adnan berkata, kebersamaan antara anggota pentadbiran dan penjawat awam wajar diharmonikan dengan suasana semak dan imbang agar sistem pentadbiran kerajaan dapat mencapai matlamat dan memberi manfaat kepada negara serta rakyat. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *