BERITA UTAMA

Pukul beramai-ramai sampai mati: Adakah semua pelaku boleh dihukum gantung sampai mati?

Oleh: Peguam Nik Saiful Adli Burhan

SAYA tertarik untuk mengulas isu pemandu diikat dan dipukul beramai-ramai sampai mati yang berlaku di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang baru-baru ini.

Rata-rata komen netizen mahukan pelaku dihukum mati, malah ada juga yang minta polis perlakukan perbuatan kejam yang sama terhadap lima suspek yang ditahan.

Dalam Undang-undang Jenayah, tak semua perbuatan menyebabkan kematian dikira bunuh/murder.

Syarat-syarat seseorang itu dikatakan membunuh disebutkan dalam Seksyen 300 Kanun Keseksaan iaitu:-

(a) jika perbuatan yang menyebabkan kematian itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian;

(b) jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh yang pesalah itu ketahui mungkin menyebabkan kematian orang yang dikenakan bencana itu;

(c) jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh kepada seseorang, dan bencana tubuh yang dimaksud hendak dikenakan itu adalah cukup, pada lazimnya, bagì menyebabkan kematian; atau

(d) jika orang yang melakukan perbuatan itu ketahui bahawa perbuatan itu adalah sebegitu sekali berbahaya hingga mungkin sekali menyebabkan kematian, atau sesuatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian, dan ia melakukan perbuatan itu dengan tiada apa-apa sebab bagi mendatangkan bahaya menyebabkan kematian, atau bencana sebagaimana tersebut itu.

4. Berdasarkan keputusan kes-kes yang muktamad oleh mahkamah, ada elemen-elemen yang perlu disiasat oleh polis dan dibuktikan oleh Pendakwa Raya di mahkamah bagi membolehkan tertuduh disabitkan bersalah dan dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, gantung sampai mati iaitu:-

a) Mangsa meninggal dunia;

b) Kematian mangsa adalah disebabkan oleh perbuatan tertuduh

c) Perbuatan tertuduh terhadap mangsa adalah salah satu dari empat perbuatan dalam Seksyen 300 Kanun Keseksaan (Rujuk perenggan 3 di atas)

5. Dalam kes ini, terdapat tambahan elemen apabila pelaku lebih dari seorang iaitu mereka mempunyai niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

6. Kesemua elemen-elemen ini perlu dibuktikan untuk sabitan dan hukuman di bawah Seksyen 302. Jika tak cukup elemen, mungkin tertuduh sekadar disabitkan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh di bawah Seksyen 304 (penjara sehingga 30 tahun)

7. Maka, dalam kes ini, penting untuk pihak pendakwaan membuktikan kelima-lima orang yang dikatakan mengikat dan memukul mangsa itu membuat perbuatan yang lazimnya boleh menyebabkan kematian ataupun mereka tahu boleh menyebabkan kecederaan yang membawa maut.

8. Bagaimana pula jika ada yang cuma pukul sedikit? Itu bergantung kepada pembuktian oleh Pendakwa Raya sama ada dia ada niat bersama dengan yang lain, meskipun dia cuma berperanan sebagai tukang ikat sahaja!

9. Jadi, apa kesimpulannya? Ianya terserah kepada siasatan polis, pembuktian elemen-elemen pertuduhan oleh Pendakwa Raya dan bagaimana Peguambela mereka menimbulkan keraguan kepada elemen-elemen yang bakal dibuktikan oleh Pendakwa Raya.

10. Sama ada terbukti elemen membunuh, atau membunuh tanpa niat. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *