BERITA UTAMA

Nilai ringgit jatuh tidak menggambarkan asas ekonomi, instrument pelaburan – Anwar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyedari kebimbangan rakyat berkaitan nilai pertukaran mata wang ringgit berbanding dollar sekarang.

Kata Perdana Menteri, jika dirujuk kepada angka dan asas ekonomi serta instrument pelaburan, ia ternyata memberi gambaran berbeza.

Ujar beliau, walaupun ringgit dilihat jatuh, namun kerajaan Madani pimpinannya berjaya menurunkan kadar pengangguran ke paras terendah pasca-pandemik.

“Walaupun Malaysia masih menghadapi kenaikan kos barang, (tetapi) inflasi negara tidak sampai dua peratus pun pada suku keempat 2023, sedangkan seluruh dunia masih dihimpit inflasi tinggi sejak pandemik.

“Seperti yang saya kongsikan semalam, kerajaan MADANI telah meluluskan jumlah pelaburan langsung tertinggi di Malaysia dalam satu tahun kalendar pada tahun lepas, yakni RM329.5 bilion.

“Angka ini ternyata memberi gambaran yang kukuh kepada pelabur asing bahawa prestasi dan perencanaan kewangan negara setakat ini berhasil menarik minat pelaburan syarikat gergasi dan institusi kewangan dari seantero dunia untuk bertapak di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai pusat kewangan antarabangsa di ibu kota.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan lancarnya TRX, ia pasti akan menambahbaik prospek masa hadapan negara.

“Saya beriltizam untuk memastikan kerajaan Madani akan membawa asas ekonomi kita dan kesejahteraan rakyat ke paras yang lebih tinggi.

“Saya amat berharap rakyat umumnya dapat mengikuti perjalanan ini dengan rapat dan menggarap keseimbangan yang cuba diwujudkan kerajaan dalam menongkah arus cabaran geopolitik dan masalah rantaian bekalan makanan dunia sambil memastikan ekonomi kita kekal mampan dan terarah,” kata beliau. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *