BERITA UTAMA

Malaysia-Mesir komitmen bantu Palestin – Anwar

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Mesir senada dalam komitmen berterusan kedua negara negara membantu rakyat Palestin yang dizalimi rejim zionis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sokongan atas komitmen Mesir, beberapa Ahli Parlimen Malaysia dari blok kerajaan dan pembangkang dalam perjalanan ke Rafah.

“Mereka ke sana untuk menyatakan sokongan kepada Mesir dan membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari negara kita ke Gaza.

“Alhamdulillah, Presiden Abdel Fattah El-Sisi dan kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah.

“Atas sokongan berterusan daripada kerajaan Mesir, saya maklumkan kepada Presiden Sisi bahawa Malaysia bersetuju meningkatkan bantuan kewangan kepada agensi bantuan dan kerja untuk pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) susulan tindakan beberapa negara besar menghentikan sumbangan mereka,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Anwar sempat berhubung dengan Presiden Sisi untuk mengucapkan tahniah atas kemenangannya dalam pilihan raya Mesir.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden Sisi dan kerajaan Mesir atas peranan penting mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1.2 juta dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza.

Katanya, selain bantuan tahunan, Malaysia baru-baru ini telah menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA, selain AS$250,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

“Di akhir perbualan, kami berdua zahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir bukan saja terkait isu Palestin, bahkan merangkumi soal perdagangan dan ekonomi untuk membawa persahabatan ini ke tingkat lebih tinggi.

“Saya juga jemput Presiden Sisi untuk berkunjung ke Malaysia,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *