BERITA UTAMA

Malaysia kutuk rejim zionis bunuh kanak-kanak di Rafah, solat hajat seluruh negara esok

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam dan mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan zionis Israel yang terus melancarkan serangan udara terhadap penduduk Palestin khususnya di Rafah.

Tindakan zionis Israel adalah biadab serta tidak bertanggungjawab, tegas Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Menurut beliau, adalah menyedihkan serangan udara itu telah mengorbankan orang awam serta mendatangkan kecederaan termasuk kanak-kanak, selain memusnahkan kediaman dan premis awam.

“Lebih-lebih lagi ketika umat Islam semakin menghampiri gerbang bulan Ramadan,” ujarnya.

Beliau berkata, tindakan Zionis Israel mengancam untuk terus melancarkan serangan di bumi Gaza ketika menjelangnya Ramadan juga perlu ditentang oleh dunia menerusi tanda sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin.

“Marilah bersama-sama kita terus bersatu hati berdoa agar Allah SWT memberikan kesejahteraan kepada rakyat di Palestin.

 “Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin mengadakan solat hajat esok.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diarah untuk melaksanakan perkara sama di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan.

 “Semoga Allah mempermudahkan segala urusan rakyat Palestin untuk berhadapan dengan kerakusan Zionis Israel,” kata beliau. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *