BERITA UTAMA

KL City cari RM2 juta langsai hutang

KUALA LUMPUR – KL City FC kini perlu mencari RM2 juta lagi bagi melangsaikan ‘hutang’ kepada pemain dan barisan kejurulatihan membabitkan tunggakan gaji selama dua bulan iaitu Oktober dan November.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad bagaimanapun optimis tunggakan itu akan dapat diselesaikan dengan mereka pernah mengharungi situasi sama sejak beberapa musim sebelum ini.

Justeru, Khalid menafikan khabar angin pasukan itu memiliki tunggakan gaji sehingga empat bulan kerana berdasarkan kontrak, mereka hanya perlu melunaskan gaji bagi bulan Oktober dan November.

“Kita minta RM10 juta, tetapi hanya dapat RM6 juta dan tambahan RM2 juta lagi kerana menjadi duta Kuala Lumpur Rendah Karbon. Secara keseluruhan, kita dapat RM8 juta jadi sekarang kita kekurangan RM2 juta lagi untuk membayar gaji.

“Hakikatnya mengikut kontrak asal berdasarkan musim ialah sehingga 30 November, jadi hutang tertunggak adalah untuk Oktober dan November. Tetapi oleh kerana perubahan musim, saingan liga terlajak sehingga Disember.

“Jadi, kita kena tampung sedikit untuk Disember dan kita akan adakan rundingan dengan pemain kerana perkara itu adalah di luar kontrak. Apapun, kita yakin dapat selesaikan sebelum tarikh dinyatakan dalam surat Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Kekurangan duit adalah keadaan biasa dalam KLFA dan KL City FC, tetapi kita utamakan bola sepak kerana kita perlu faham bagi musim 2023, kita perlu menambah satu lagi pasukan iaitu pasukan Bawah 23 tahun (B-23),” katanya pada sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam masa sama, Khalid juga menganggap permulaan musim baharu yang agak lewat, di mana hanya akan bermula pada Mei ini memberi sedikit kelegaan buat KL City FC khususnya dari segi kewangan.

“Liga hanya akan bermula pada Mei, jadi kos operasi gaji bagi pemain jauh berkurangan kerana sebahagian besar pemain belum lagi kita tandatangani dalam kontrak.

“Ini memberikan kita sedikit ruang untuk bernafas dan juga untuk kita mencari RM2 juta yang kita kurang itu untuk menampung tunggakan gaji dua bulan terbabit,” katanya. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *