BERITA UTAMA

Kerajaan akan buat keputusan isu bekalan beras petang ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membuat keputusan mengenai isu bekalan beras selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) petang ini.

Perdana Menteri berkata mesyuarat itu juga akan berbincang mengenai inisiatif penjualan barangan keperluan lain termasuk ikan, ayam, daging dan sayur pada harga yang lebih murah.

Beliau berkata sebarang pengumuman harga barangan terutama melibatkan beras, mestilah datang daripada kerajaan walaupun ada beberapa pihak lain yang mengemukakan cadangan.

“Ini negara demokrasi, boleh (beri cadangan)… tetapi ia bukan merupakan keputusan kerajaan. Kerajaan akan buat keputusan (mengenainya) petang ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Tun Razak Exchange sebagai hab kewangan antarabangsa Malaysia, hari ini.

Sebelum ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata kerajaan belum membuat ketetapan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini, yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Mohamad berkata sebarang pengumuman atau ketetapan yang dibuat, mesti berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata isu peletakan jawatan tiga pegawai kanan pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), sedang dikendalikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya Mohamed Khaled kemudiannya akan melaporkan perkara itu kepada Jemaah Menteri.

Tiga pegawai kanan pengurusan LTAT telah meletakkan jawatan sejak sebulan lalu terdiri daripada Ketua Eksekutif Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman, Pengerusi Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pengarah Kanan Strategi Dayana Rogayah Omar. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *