BERITA UTAMA

Episod 6 – Peristiwa serbu (rush) tiket wayang zaman 1960an

BILA Pak Long melihat anak-anak zaman sekarang bermain dengan pelbagai perisian dalam Play Store seperti “lawan bola” di depan skrin televisyen di bilik berhawa dingin, Pak Long cuma senyum kambing.

Pak Long terbayang keadaan zaman dahulu kala, zaman Pak Long masih di Sekolah Melayu pada akhir tahun 1950an dan 1960an. Semua kecanggihan yang ada sekarang ini tidak pernah Pak Long bayangkan.

Apabila Pak Long atau kawan-kawan sebaya Pak Long cerita kepada anak cucu betapa susahnya kehidupan kami dulu, di antara komen anak cucu ialah “Atuk. Itu zaman dulu…” Mereka pun tidak dapat bayangkan bagaimana anak-anak muda yang seangkatan dengan Pak Long berhibur di masa senggang.

Televisyen walaupun masih hitam putih adalah item eksklusif dan bukan semua keluarga mampu miliki barang-barang istimewa seperti ini. Malah ramai yang tidak mampu beli radio bateri kering mahu pun radio transistor.

Pak Long masih ingat bagaimana semasa di tingkatan 4, Pak Long tumpang dengar radio kawan sekampung untuk ikuti telatah Mohd Ismail Ahmad Sinin (MIA) dengan lagu-lagu hit mingguan dalam rancangan Penyanyi Pujaan Minggu Ini (PPMI) atau teruja mengetahui apakah lanjutan sandiwara Radio Singapura yang popular karya penulis terkenal kelahiran Medan, Indonesia Jah Lelawati.  

Zaman dulu di Sungai Petani hanya ada Panggung Empire dan Panggung Cathay. Itulah zaman kegemilangan filem P. Ramlee dengan filem-filem hit seperti “Penarik Becha” (ejaan asal), “Panca Delima” dan sebagainya.

Mak Su Pak Long pada masa itu adalah wanita muda dalam usia belasan tahun. Setiap kali ada filem Melayu terbaru, dia tidak pernah gagal membawa Pak Long menonton.

Biasanya rombongan menonton kami ini tak kurang lima orang. Pak Long tidak ingat lagi filem apa yang Pak Long tonton di Panggung Cathay Keris.

Satu perkara yang Pak Long tak pernah lupa ialah terpaksa berjalan kaki dari bandar Sungai Petani ke rumah kami di Kebun Bengki, Jalan Kuala Ketil – satu perjalanan kira-kira sejauh dua batu. Waktu itu pengangkutan yang ada pada waktu malam ialah lanca@beca. Basikal juga termasuk barangan untuk orang berduit.

Pak Long gerun melihat orang berebut-rebut untuk dapatkan tiket. Waktu begini peristiwa serbu (rush ticket) untuk membeli tiket memang luar biasa. Mereka tidak beratur dan sepanjang ingatan Pak Long tak kelihatan pula usaha-usaha untuk mengawal atau mendisiplinkan para peminat tegar filem-filem Melayu ketika itu. Yang jelas sesiapa yang tak dapat tiket boleh memperolehinya di pasar gelap. Harga tiket? Pak Long tak pernah tahu kerana itu semua urusan emak saudara Pak Long.   

Pak Long hanya tersenyum setiap kali teringat kisah mencari hiburan pada zaman awal tahun 60an dulu; kisah ‘kekunoan’ yang aneh dari kaca mata generasi X, Y dan Z. 

Sekarang ini pelbagai filem dapat ditonton dengan mudah di televisyen, malah di telefon bimbit. Tidak perlu lagi berebut-rebut atau bersusah payah. Kini semuanya dihujung jari saja. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *