BERITA UTAMA

Ekonomi domestik mengukuh, kejatuhan ringgit faktor luaran

RINGGIT Malaysia dilaporkan susut ke paras terendah dalam 26 tahun iaitu mencecah paras RM4.80 berbanding Dolar Amarika Syarikat (USD).

Persoalan ini tidak dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan apabila ditanya oleh wartawan, sebaliknya beliau tujukan kepada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjawab soalan tersebut.

Ramai yang telah menyindir respon tersebut dan berpendapat bahawa penjelasan seharusnya dibuat oleh PMX.

Tetapi, sekiranya soalan yang begitu kompleks jikalau dijawab dengan jawapan yang kurang lengkap, ianya tentu akan memburukkan lagi prestasi ringgit dan keyakinan pelabur.

Nilai mata wang sesebuah negara ditentukan oleh banyak faktor, tetapi pada asasnya ianya dipengaruhi oleh supply and demand. Selain itu, faktor lain yang turut mempengaruhi mata wang termasuk keyakinan pelabur, polisi kewangan negara, kadar faedah, kestabilan politik, keadaan ekonomi, jumlah eksport dan import serta faktor geopolitik.

Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour pada awal Februari menyebut, pretasi ringgit tidak mencerminkan prospek positif ekonomi masa depan Malaysia. Beliau berpendapat, pretasi buruk ringgit baru-baru ini adalah sama seperti prestasi nilai mata wang serantau lain yang amat dipengaruhi oleh faktor luaran.

Faktor luaran yang dapat dijelaskan termasuk jangkaan faedah Amerika Syarikat, kebimbangan geopolitik (persepsi di mana adalah lebih selamat untuk menyimpan USD apabila keadaan geopolitik semakin tidak stabil) serta ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China (rakan dagangan terbesar Malaysia, pada 17.1 peratus jumlah perdagangan Malaysia 2023).

Adakah kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk memperbaiki prestasi ringgit?

Pastinya ada, cuma pendekatan yang kerajaan ambil untuk menguatkan ekonomi merupakan pendekatan jangka panjang supaya tindakan tersebut tidak mendatangkan beban kepada rakyat.

Misalnya, kerajaan boleh menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk memperkukuhkan nilai mata wang negara, namun rakyat tentunya terkesan dan dibebankan susulan peningkatan pembayaran hutang.

Oleh itu, kerajaan telah memilih pendekatan jangka panjang yang lebih berpotensi memberi impak besar termasuklah pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), usaha menarik pelaburan asing, penstrukturan semula ekonomi negara, pengukuhan fiskal dan mengurangkan hutang negara.

Semua usaha ini sememangnya akan meletakkan pembangunan ekonomi pada dasar yang positif, tetapi kesannya akan mengambil jangka masa yang lebih lama untuk dirasai oleh rakyat dan dilihat dalam petunjuk ekonomi negara.

Di samping itu, Bank Negara telah mengambil inisiatif jangka masa pendek untuk memperbaiki kedudukan mata wang ringgit dengan mengurangkan pergantungan kepada USD. Bank Negara telah menetapkan eksport dengan ringgit dan pelaksanaan inisiatif Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) bersama Indonesia dan Thailand.

Selain itu, perjanjian pengaturan mata wang dengan China turut dilaksanakan, tetapi belum lagi membawa impak besar dalam memperbaiki kedudukan ringgit.

Pendekatan jangka pendek yang lebih drastik tidak dapat dilaksanakan supaya rizab mata wang asing negara kita tidak terjejas.

Antara contoh pendekatan jangka pendek ialah menambatkan nilai mata wang ringgit dengan USD atau campur tangan menstabilkan nilai mata wang pada lingkungan yang ditetapkan seperti dilakukan Singapura (Central Bank mereka mencatat rugian sebanyak USD 23 bilion pada 2023 untuk mengukuhkan nilai mata wang).

Realitinya, bukanlah senang untuk meningkatkan prestasi nilai mata wang ringgit secara cepat dalam jangka masa yang pendek tambahan dengan faktor luar yang tidak memberangsangkan. Faktor luar pada masa kini telah menambah lagi cabaran dengan keadaan geopolitik yang semakin tidak menentu.

Keadaan geopolitik khususnya keadaan di laut merah yang tidak stabil berpunca sikap rakus Israel yang menjadi punca mengganggu sekuriti dan perdagangan dunia yang sedia ada memburukkan lagi keadaan.

Dengan itu, adalah lebih wajar bagi negara kita untuk menambahbaik keadaan dan struktur dalaman ekonomi negara untuk mengatasi dan menghadapi cabaran luar yang berubah dengan dinamik pada masa depan.

Sehubungan dengan isu prestasi mata wang ringgit yang terkini, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour mengulas dengan lebih lanjut bahawa “Pertumbuhan pada 2024 akan didorong oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh”.

Eksport negara kita juga menunjukkan peningkatan yang stabil sejak suku keempat 2023 dan eksport Januari 2024 juga telah mencatat pertumbuhan positif sebanyak +8.7 peratus. Pada masa sama, sektor pelancongan juga semakin pulih dan dijangka melebihi pra-pandemik.

Ulasan daripada Gabenor Bank Negara dijangka tidak dapat memperbetulkan prestasi ringgit untuk jangka yang terdekat. Tetapi pada hakikatnya, penjelasan tersebut hanya penghuraian keadaan sebenar kepada perkembangan ekonomi kita. Kesemua pertumbuhan aspek ekonomi sudah pastinya akan mengukuhkan prestasi ringgit pada masa yang akan datang. Hanya masa yang akan menentukan. – NasionalDaily

Penulis, Dr. Ng Rui Wei adalah Pengerusi Biro Ekonomi dan Perdagangan Pemuda Amanah Nasional

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *