BERITA UTAMA

DBKL arah 11 premis tutup kerana kotor

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 premis yang beroperasi di sekitar Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Abdullah di sini, diarah tutup oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Arahan itu dikeluarkan dalam Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) yang dilakukan unit penguatkuasaan DBKL kerana mendapati premis berkenaan kotor dan tidak menjaga kebersihan.

Menurut kenyataan DBKL, OPM melibatkan pemeriksaan ke atas 33 premis dengan tiga daripadanya telah ditutup, tidak beroperasi.

“Hasil pemeriksaan ke atas 30 premis itu, 11 daripadanya telah dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah peruntukan Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Selain itu, sebanyak 34 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Pelbagai kesalahan bersabit aspek kebersihan, petugas serta persekitaran premis telah dikenakan tindakan,” kata kenyataan itu.

DBKL akan meneruskan tindakan seumpama itu dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak kesihatan yang telah ditetapkan. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *