BERITA UTAMA

Ahli Parlimen Melayu-Islam perlu bersatu perkasa undang-undang syariah

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Pahang menggesa Ahli Parlimen dalam kalangan Melayu-Islam supaya bersatu hati memperkasakan syariah di negara ini kerana ia tanggungjawab rentas parti.

Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan berkata, ini untuk memperjuangkan keutuhan undang-undang syariah mengikut hak yang telah dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, jalan utama boleh digunakan ke atas pengkhianatan kepada undang-undang dan Mahkamah Syariah adalah dengan menggunakan kuasa legislatif Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Isu ini bukan lagi untuk diperselisihkan dalam kalangan ilmuwan, pengamal undang-undang mahupun ahli politik.

“Dalam isu mustahak ini, tidak perlu ada kata dua atau pilihan buat semua Ahli Parlimen Melayu Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, kuasa yang membolehkan Ahli Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan mesti disatukan.

Ujarnya, perpecahan Ahli Parlimen Melayu-Islam hanya akan membuka lebih banyak ruang pencerobohan dan membantutkan usaha memperkasakan institusi undang-undang dan mahkamah syariah di Malaysia. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *