BERITA UTAMA

Satelit ERS-2 terhempas ke bumi

PARIS – Sebuah satelit milik Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) terhempas ke bumi selepas berada di orbit selama hampir 30 tahun, lapor agensi berita United Press International (UPI).

ESA memaklumkan, satelit ERS-2 memasuki atmosfera bumi di kawasan utara Lautan Pasifik sekitar jam 2.17 petang (waktu tempatan) atau 3.17 pagi (waktu Malaysia).

ESA sebelum itu meramalkan satelit tersebut akan terhempas di lokasi tidak ditetapkan di Lautan Pasifik sekitar jam 10.41 pagi (waktu tempatan) atau 11.41 malam (waktu Malaysia).

Penyelidik ESA tidak dapat menganggarkan sisa satelit ERS-2 yang tinggal kerana ia akan terbakar di atmosfera, manakala selebihnya dijangka hilang di lautan.

Isnin lalu, ESA berkongsi imej yang dirakam oleh Agensi Angkasa Lepas Britain dan syarikat HEO Robotics yang menunjukkan ERS-2 sedang menuju ke arah bumi.

Operasi ERS-2 dihentikan pada 2011 dan ia menuju ke bumi sejak itu.

Satelit tersebut dilancarkan pada 1995, empat tahun selepas satelit ERS-1 dilancarkan untuk memerhati dan menjejaki perubahan dalam planet. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *