BERITA UTAMA

Menteri agama tidak kompromi pihak eksploitasi nasab suci Nabi

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri (JAIN) dan polis untuk menyiasat pendedahan sebuah media mengenai eksploitasi nasab suci Nabi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan laporan Harian Metro kelmarin dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun Kumpulan tertentu.

“Jabatan saya melalui Jakim akan bekerjasama rapat dengan JAIN dan polis untuk menyiasat pendedahan yang dinyatakan dalam akhbar tersebut.

“Sudah tentu kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan yang tertentu.

“Kita nasihatkan semua sentiasa merujuk kepada JAIN dalam apa-apa urusan berkaitan pentauliahan mana-mana pendakwah agar setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Akhbar berkenaan dalam laporan khasnya mendedahkan dakwaan seorang lelaki yang mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Lelaki warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani itu pernah datang ke negara ini dua tahun lalu anjuran sebuah madrasah.

Menurut Dr. Na’im, semua pihak juga diseru sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taksub.

Katanya, ketaksuban yang melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat.

“Sikap taksub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *