BERITA UTAMA

Malaysia-Sri Lanka perkukuh pertukaran teknologi industri kelapa

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia memperkukuhkan pertukaran teknologi dalam industri kelapa dengan Sri Lanka, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ini kata beliau, termasuk kerjasama antara kementerian melalui MARDI dan Coconut Research Institute (CRI) Sri Lanka dalam bidang tisukultur.

“Saya menyampaikan hasrat Malaysia untuk mengadakan dan memperkukuhkan pertukaran teknologi dalam industri kelapa bersama Sri Lanka kerana negara ini merupakan antara pengeluar kelapa dan produk kelapa dunia.

“Saya juga memaklumkan mengenai hasrat Malaysia untuk menubuhkan lembaga khusus bagi pembangunan industri kelapa, nanas dan durian,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Beliau dan rombongan kini dalam rangka lawatan ke Sri Lanka dalam memperkukuhkan hubungan pertanian kedua negara dan turut menghadiri makan malam di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka, Badli Hisham Adam.

Mohamad turut berjumpa dengan rakan sejawatnya, Menteri Pertanian dan Industri Perladangan Sri Lanka, Mahindra Amaraweera serta dan Menteri Keselamatan Awam Sri Lanka, Tiran Alles.

“Saya turut menjemput kedua-dua menteri ini untuk hadir ke MAHA dan MIHAS yang akan dianjurkan tahun ini,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *