BERITA UTAMA

Majikan perlu serah borang, penyata EA, EC 2023 sebelum 29 Feb – LHDN

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan majikan berhubung tanggungjawab menyedia dan menyerahkan penyata saran EA bagi sektor swasta dan EC (sektor kerajaan) bagi tahun 2023 kepada pekerja sebelum atau pada 29 Februari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan, berdasarkan peruntukan subseksyen 83 (1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), majikan bertanggungjawab menyedia dan menyerahkan borang atau penyata saraan dengan lengkap setiap tahun mengikut tarikh ditetapkan kepada semua pekerja.

“Ini bagi membolehkan pekerja atau pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka melapor pendapatan serta mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada HASiL.

“Kegagalan majikan melaksanakan tanggungjawab ini adalah menjadi satu kesalahan di bawah perenggan 120(1)(b) ACP 1967 yang boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM200 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” kata kenyataan itu hari ini.

Bagi tujuan rujukan, majikan boleh mencapai Nota Penerangan E 2023 melalui Portal HASiL www.hasil.gov.my > Borang > Muat Turun Borang > Majikan atau pautan pantas seperti https://www.hasil.gov.my/media/4jjh00qh/nota-penerangan-e-2023/pdf

Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi LHDN menerusi Hasil Contact Center (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara); HASiL Live Chat; dan borang maklum balas di portal rasmil HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *