BERITA UTAMA

Lombong runtuh di Venezuela, 25 dikhuatiri maut

LA PARAGUA: Sebuah lombong haram dekat hutan terpencil di selatan Venezuela, runtuh meragut 25 nyawa, kata Datuk Bandar Angostura, Yorgi Arciniega.

Tragedi berlaku di lombong ‘bulla loca’ dekat Bolivar dan perlu melalui perjalanan selama tujuh jam menaiki bot dari bandar La Paragua, di mana ahli keluarga menunggu perkembangan bencana itu dengan cemas.

“Terdapat cakap-cakap mengenai 25 orang mati dan 15 cedera,” kata Arciniega, sambil menambah pihaknya belum menerima angka yang tepat, tetapi hospital tempatan di La Paragua mengesahkan sudah menerima 23 mayat mangsa.

Mangsa yang cedera dihantar ke hospital dekat Ciudad Bolivar, empat jam dari La Paragua yang terletak 750 kilometer (km) tenggara ibu kota Caracas.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Awam, Carlos Perez Ampueda, yang menyiarkan video kejadian itu di platform X berkata, kemalangan itu membabitkan jumlah mangsa yang ramai.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlahnya secara khsus, tetapi difahamkan terdapat kira-kira 200 orang dipercayai bekerja di lombong itu.

Video menunjukkan puluhan orang bekerja di perairan cetek lombong terbuka ketika tebing tanah runtuh perlahan-lahan sehingga menimpa mereka, dengan ada yang berjaya menyelamatkan diri manakala yang lain ditimbus tanah runtuh.

Rentetan kejadian itu, tentera, bomba dan agensi lain bergerak ke kawasan itu melalui udara untuk menilai keadaan.

Pasukan penyelamat turut diterbangkan dari Carcas untuk membantu operasi pencarian.

Pada Disember tahun lalu, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh apabila sebuah lombong di perkampungan Orang Asli Ikabaru, dekat wilayah sama runtuh.

Kawasan Bolivar sememangnya terkenal dengan emas, berlian, besi, bauksit, kuarza dan coltan. Terdapat juga industri lombong haram yang berkembang pesat di negeri itu.

Pada tahun lalu, Angkatan Bersenjata Venezuela mengusir kira-kira 14,000 pelombong haram dari Taman Negara Yapacana di Amazonas. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *