BERITA UTAMA

Larangan hadiah diterima pegawai awam

SEBAGAIMANA yang telah diperuntukan mengikut Seksyen 3, Akta SPRM 2009 berkaitan pengertian suapan adalah termasuk hadiah, derma, komisen, upah dan sebagainya.

Seksyen 3 Akta ini perlu dibaca bersama dengan jenis perlakuan jenayah rasuah mengikut bentuk kesalahan seperti di bawah Sek. 16 dan 17 Akta ini.

Secara umumnya di bawah Seksyen 16 (a)(A)(B) dan 17(a) Akta ini menjelaskan mana-mana orang termasuk pegawai awam yang bertindak bertentangan dengan urusan atau tugas prinsipal masing-masing meminta atau menerima suapan rasuah sebagai dorongan untuk melakukan sesuatu tindakan yang melibatkan urusan rasminya adalah melakukan jenayah rasuah.

Hal ini bermakna, dalam konteks penerimaan hadiah, ianya perlu dilihat dalam konteks keseluruhan fakta kes seperti siapa yang memberi, siapa menerima, apa yang diberikan, apa tujuan diberikan, apa balasan hasil pemberian itu dan sebagainya.

Bukanlah semudah itu kita boleh menyatakan derma atau hadiah itu sebagai suapan rasuah.

Masih terdapat ramai dalam kalangan pegawai awam tidak memahami atau terkeliru berkaitan maksud hadiah dan apa yang boleh dan apa yang tidak dibenarkan dalam penerimaan atau pemberian hadiah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5- Tatacara Pemberian Dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam (Versi 1.0 (2022) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2022 (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998 terbatal).

Bagi maksud Pekeliling tersebut, hadiah termasuklah wang, harta alih atau tidak alih, tambang percuma, saham, tiket loteri, kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian kelab, apa-apa bentuk komisen, hamper, diskaun, cenderamata, barang kemas, perhiasan atau apa-apa benda yang bernilai yang diberi kepada pegawai awam itu, isteri pegawai itu atau mana-mana orang lain bagi pihaknya daripada mana-mana orang dengan tiada balasan (without consideration) atau balasan yang diketahui oleh pegawai itu tidak mencukupi atau mencukupi.

Para 5, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Ceraian UP.7.2.5- Tatacara Pemberian dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam dengan jelas menyatakan pegawai awam dilarang daripada menerima hadiah sekiranya berkaitan dengan tugas awamnya di mana bentuk, amaun dan nilai hadiah itu tidak sepadan dengan maksud hadiah itu diberi.

Peraturan yang melarang pegawai awam menerima hadiah juga termaktub di bawah Para 8(1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U. (U) 395/1993).

Sebarang pelanggaran dalam penerimaan hadiah boleh diambil tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja di bawah P.U. (U) 395/1993 itu. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *