BERITA UTAMA

Ketua Yakuza uji senjata depan polis menyamar

NEW YORK: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mendakwa seorang penjenayah yang juga ketua kumpulan Yakuza kerana memiliki bahan nuklear diperoleh dari Myanmar dan cuba menjualnya untuk membiaya pembelian senjata haram.

Dalam pertuduhan di sebuah mahkamah di Manhattan, ketua Yakuza, Takeshi Ebisawa dan defendan bersama, Somphop Singhasiri, sebelum ini pernah didakwa pada April 2022 atas kesalahan mengedar dadah serta senjata api dan kedua-duanya kini direman.

Menurut Penolong Peguam Negara, Matthew Olsen dari Bahagian Keselamatan Negara Jabatan Kehakiman, defendan dituduh didapati bersubahat untuk menjual bahan nuklear gred senjata dan narkotik dari Myanmar, termasuk membeli senjata tentera bagi kumpulan pemberontak bersenjata.

“Sungguh menyeramkan untuk membayangkan akibat sekiranya cubaan ini berjaya.

“Jabatan Kehakiman bertanggungjawab ke atas mereka yang memperdagangkan bahan-bahan ini dan mengancam keselamatan AS serta kestabilan antarabangsa,” katanya.

Mengikut dokumen pendakwaan, senjata tentera yang menjadi ‘barang dagangan’ menjadi sebahagian daripada perjanjian senjata termasuk peluru berpandu darat ke udara.

Pada 2020, Ebisawa pernah memberitahu seorang pegawai yang dalam penyamaran bahawa dia mempunyai akses kepada sejumlah besar bahan nuklear yang hendak dijual.

Dia turut memberikan gambar bahan itu bersama kaunter Geiger yang merekodkan bacaan radiasi.

Semasa operasi sengat dijalankan bersama ejen yang menyamar, pihak berkuasa Thailand membantu penyiasat AS untuk merampas dua serbuk kuning yang disifatkan defendan sebagai ‘kek kuning’.

“Makmal (AS) menentukan bahawa komposisi isotop plutonium yang terdapat dalam sampel nuklear ‘kek kuning’ itu adalah gred senjata.

“Bermakna plutonium itu, jika dihasilkan dalam kuantiti yang mencukupi, akan sesuai untuk digunakan dalam senjata nuklear,” kata Jabatan Kehakiman dalam kenyataan.

Salah seorang rakan subahat Ebisawa mendakwa mereka mempunyai lebih daripada 2,000 kilogram (kg) Thorium-232 dan lebih daripada 100 kg uranium dalam kompaun U308 merujuk kepada sebatian uranium yang biasa ditemui dalam serbuk pekat uranium, dikenali sebagai ‘kek kuning’.

Mengikut pendakwaan itu, Ebisawa mencadangkan untuk menggunakan hasil penjualan bahan nuklear untuk membiayai pembelian senjata bagi pihak kumpulan pemberontak yang tidak dinamakan.

Ebisawa berdepan hukuman minimum mandatori 25 tahun penjara kerana cuba memperoleh peluru berpandu dan 20 tahun penjara kerana mengedar bahan nuklear pada peringkat antarabangsa.

Pendakwa raya menggambarkan Ebisawa sebagai ketua sindiket jenayah terancang Yakuza, iaitu rangkaian jenayah transnasional Jepun yang sangat teratur dan beroperasi di seluruh dunia.

Banyak kegiatan jenayah kumpulan itu termasuk narkotik dan penyeludupan senjata dilakukan dalam skala besar. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *