BERITA UTAMA

Sultan Selangor pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 di Istana Negara.

Kali terakhir mesyuarat itu diadakan pada 31 Januari lalu iaitu Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada enam pegawai dan 112 anggota lain-lain pangkat di Dataran Utama, Istana Negara.

Turut berangkat ke mesyuarat yang berlangsung dua hari bermula hari ini ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, turut berangkat.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri dan Sarawak diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *